JURULATIH Malaysia, Allan Harris bersama pembantunya, Zainal Abidin Hassan memerhatikan pemain-pemain negara menjalani latihan menjelang perlawanan separuh akhir Piala Tiger di Jakarta, Indonesia semalam. - Gambar Saiful Nizam Bahari.
Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
JAKARTA - Pertemuan `hidup dan mati' di antara Malaysia dan Indonesia dalam pertandingan separuh akhir Piala Tiger 2002 belum lagi berlangsung namun bahangnya sudah dirasai dengan bermulanya `perang psikologi' di sini.
Antaranya, penyediaan padang latihan kelmarin menimbulkan rasa kurang senang kepada skuad kebangsaan sehingga mereka terpaksa membatalkan latihan penuh untuk beralih kepada latihan ringan bagi mengelakkan pemain mendapat kecederaan.
Hanya pada hari semalam barulah Malaysia mendapat padang yang sesuai dan terpaksa menggandakan latihan sebelum berdepan tugas berat separuh akhir esok.
``Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku tetapi sebagai jurulatih profesional, sudah tentu saya kurang senang dengan keadaan padang yang terdapat banyak batu kerikil.
Menurut jurulatih yang berasal dari England itu, keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengubah corak latihan yang dirancangkan.
``Ini boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain,'' kata Harris merujuk kepada keadaan padang ketika ditemui selepas latihan skuad Malaysia di Senayan, di sini, semalam.
Bagaimanapun, kata Harris, semalam Malaysia dapat menjalani latihan di atas padang lebih baik dan dia tidak mahu terlalu memikirkan masalah itu untuk memberi tumpuan menyediakan pasukan yang mantap sebelum beraksi.
Dalam latihan petang semalam, penyerang Hairuddin Omar kembali diturunkan setelah pulih daripada kecederaan dialami sebelum ini.
Harris memberitahu, biar apa pun cabaran bakal dihadapi skuad kebangsaan yang beraksi di gelanggang lawan, pasukan negara sudah bersedia.
``Semangat pemain tinggi untuk melepasi halangan separuh akhir dan mereka menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan dijalankan,'' kata beliau.
Walaupun belum mendedahkan senarai pemain yang bakal diturunkan ketika berdepan Indonesia, Harris membayangkan kesebelasan utama ketika menentang Thailand menjadi pilihannya.
Pastinya, penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli bersedia untuk menggalas cabaran memburu jaringan ke atas Indonesia dengan bantuan Indra Putra Mahayuddin dan rakan-rakan sepasukan lain.
Harris mengakui cabaran separuh akhir cukup mendebarkan kerana Indonesia juga diakuinya mempunyai kesebelasan utama yang baik.
``Mereka (Indonesia) merupakan pasukan yang baik, serangannya dan juga barisan pertahanannya boleh beraksi dengan mantap.
``Kita perlu menghormati Indonesia dan kejayaan mereka membelasah Filipina 13-1 menjadi petanda betapa Indonesia kini tidak boleh dipandang mudah,'' tambahnya.
Namun, Harris berkata, dengan bersemangat tinggi, sudah pasti Malaysia mampu untuk memberi tentangan hebat. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cQ5EMQbu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan