Jumaat, 17 November 2017

Saravanan bukan digugur



ARKIB : 18/02/2008
Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

KUANTAN – Pemain bola sepak Pahang, V. Saravanan bukan digugurkan daripada skuad Tok Gajah itu, sebaliknya beliau sendiri yang meminta pelepasan untuk keluar dari skuad tersebut.

Pengesahan itu diberikan jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan yang menolak dakwaan Saravanan ditamatkan kontrak bersama pasukan Pahang.

Zainal menjelaskan, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) juga bersetuju melepaskan penyerang Tok Gajah itu sekiranya mencapai persetujuan dengan mana-mana pasukan yang ingin menggunakan khidmat Saravanan.

‘‘Sehingga ke hari ini, kontrak Saravanan masih dengan PBNP dan permohonannya untuk keluar daripada pasukan ini juga sudah diluluskan, hanya menanti untuk capai persetujuan dengan mana-mana pihak yang berminat dengannya,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Zainal berkata, keputusan Saravanan untuk keluar dari PBNP juga berlangsung dalam suasana baik tanpa sebarang kemelut.

‘‘Sampai ke saat ini, dia masih lagi berlatih dengan skuad Pahang kerana masih lagi terikat dengan kontrak PBNP,” katanya.

Mengulas mengenai aksi anak buahnya setelah menewaskan Johor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin, Zainal berkata, Pahang memang memerlukan kemenangan itu setelah kecundang berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini.

Menurut beliau, tiga mata penuh yang diperoleh Pahang boleh meningkatkan imej pasukan itu selain menaikkan semangat para pemainnya untuk mengharungi beberapa perlawanan lain selepas ini.

‘‘Sudah lama kita tak dapat mata penuh, jadi kemenangan ini memang sangat bermakna,” ujarnya.

Jaringan Pahang disumbangkan Keita Boubacar (m-11) dan Azizul Kamaludin (m-29) manakala gol tunggal Johor FC dijaringkan Mohd. Syaiful Sabtu (m-72).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yhDuUVeY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan