Jumaat, 20 Oktober 2017

Zainal ‘geram’ aksi lembik anak buah



ARKIB : 03/01/2008

KUANTAN - Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menyalahkan anak-anak buahnya sebagai punca utama kekalahan pasukan Tok Gajah 1-2 kepada Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, kelmarin.

Beliau yang nyata kecewa dengan persembahan hambar anak buahnya berkata, pasukan lawan berjaya membolosi pertahanan tuan rumah dengan mudah sekali gus memperoleh dua gol tanpa tentangan hebat.

Beliau turut mempersoalkan sepakan penalti yang diperoleh oleh Terengganu pada minit ke-58.

Menurut Zainal, meskipun anak-anak buahnya berusaha menyamakan kedudukan, namun ia agak terlambat apabila hanya berjaya mencuri satu gol pada minit ke-87 oleh K. Rajan.

“Dalam perlawanan ini, apabila Terengganu menjaringkan gol pembukaan, pasukan kita menjadi kelam kabut. Mereka berusaha untuk mendapatkan gol tetapi sudah terlambat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Tegas Zainal, anak-anak buahnya tidak menggunakan segala peluang yang ada sebaik mungkin.

“Kita hanya mendapat dua atau tiga peluang sahaja tetapi tidak digunakan dengan baik,” jelasnya.

Menurut Zainal lagi, Pahang masih belum mempamerkan aksi terbaik dalam lima perlawanan yang diharungi, namun beliau berharap kehadiran Tariq Al-Janaby dan Reduane Barkaoui dari Maghribi dapat mengubah pasukan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4w4FcfkTI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan