Jumaat, 27 Oktober 2017

Zainal kecewa dengan Pahang



ARKIB : 28/01/2008

KUANTAN – Mengecewakan. Itulah luahan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan terhadap persembahan tidak konsisten anak buahnya selepas terikat 2-2 dengan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Tok Gajah mendahului 2-0 pada satu ketika, namun atas kelekaan mereka, pasukan lawan kembali menyamakan kedudukan, sekaligus menyebabkan mereka kehilangan tiga mata berharga di gelanggang sendiri.

Zainal yang ditemui sejurus perlawanan berkata, dia kecewa dengan aksi skuad kendaliannya yang gagal mempamerkan persembahan konsisten sehingga tamat perlawanan.

‘‘Dalam separuh masa pertama, permainan agak hambar tanpa banyak serangan, namun pemain saya bangkit pada separuh masa kedua dengan dua gol.

‘‘Sayangnya, corak permainan yang ditunjukkan tidak konsisten menyebabkan kita akhirnya terpaksa berkongsi mata dengan lawan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, gol Pahang dijaringkan Redouane Barkaoui melalui tendangan penalti pada minit ke-58, diikuti jaringan kedua pada minit ke-64 oleh Christiano Lopez Figuerredo.

Bagaimanapun Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi Efendi Abd. Malek pada minit ke-68 dan Mohd. Rahman Zabul pada minit ke-78.

Zainal yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, walaupun gagal mengekalkan rentak permainan, dia menyifatkan prestasi skuad kendaliannya agak baik berbanding beberapa perlawanan sebelum ini.

‘‘Kita juga dapat lebih kurang 10 peluang yang baik, namun ia gagal disempurnakan,” katanya.

Sambil menyifatkan skuadnya kehilangan prinsip, Zainal berkata, dua gol yang dibolosi lawan juga adalah gol mudah yang sepatutnya boleh dielakkan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wiUM0COX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan