Rabu, 18 Oktober 2017

Komunikasi lemah punca Pahang tewas



ARKIB : 23/11/2007

KUANTAN – Ketua jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menyifatkan kecuaian dan kurangnya komunikasi antara pemain merupakan punca utama kekalahan tipis 1-2 kepada Kedah pada perlawanan kedua Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini, kelmarin.

Beliau yang nyata kesal dengan keputusan itu berkata, skuad bimbingannya tidak patut kalah dalam perlawanan itu memandangkan Pahang lebih banyak dibarisi pemain berpengalaman berbanding Kedah yang ramai pemain muda.

‘‘Saya kecewa dengan keputusan ini. Kalah di tempat sendiri, pemain-pemain saya telah lakukan kesilapan yang tak sepatutnya,” katanya.

Pada perlawanan itu, jaringan pertama Kedah menerusi pemain import, Nelson Sam Martin tidak bertahan lama apabila Pahang menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Uganda, Abed Bironse pada minit ke-64.

Namun begitu, hasrat Pahang untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut hancur apabila Marlon Alex James menyumbat gol kedua pada minit ke-66 setelah berlaku salah faham antara penjaga gol, Mohd. Syamsuri Mustaffa dengan pemain pertahanan.

Dengan nada kecewa, beliau berkata, kurangnya komunikasi antara penjaga gol, Mohd. Syamsuri dengan pemain pertahanan menyebabkan gawang mereka bolos.

‘‘Kesilapan itu memang tak patut berlaku, lagi pun pasukan pelawat tidak melakukan serangan berbahaya,” ujar beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vqVjDD00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan