Jumaat, 13 Oktober 2017

Fandi, Zainal serikan saingan


ARKIB : 10/08/2007

SHAH ALAM – Pertembungan dua bekas penyerang terbilang dari Selangor dan Singapura akan menjadi penyeri perlawanan bola sepak merebut Piala Sultan Selangor Edisi Keenam di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Kelibat Zainal Abidin Hassan tampil beraksi menyarung jersi veteran Selangor dan bintang tersohor, Fandi Ahmad pula akan mengemudi veteran Singapura mengimbas kembali nostalgia pertemuan kedua-dua gergasi bola sepak Piala Malaysia.

Jurulatih skuad veteran Selangor, Wong Choon Wah berkata, selain kehadiran Zainal Abidin pemain lain yang turut beraksi seperti Dollah Salleh, Razali Alias, Yap Kam Choon, Rashid Hassan, Reduan Abdullah, John Engkatesu dan Vincent Thambirajah.

Menurut bekas pemain tengah Selangor pada tahun 1968 hingga 1975 itu, seramai 25 bekas pemain skuad Merah Kuning pada awal 70-an, 80-an dan 90-an telah dapat dikumpul untuk menentang pasukan veteran Selangor.

‘‘Perlawanan dua pasukan membariskan orang-orang lama ini mengembalikan nostalgia silam antara Selangor dan Singapura dalam saingan Piala Malaysia.

‘‘Ramai antara mereka masih lagi boleh bermain walaupun tidak lah sehebat di zaman kegemilangan Selangor,’’ ujarnya Choon Wah yang turut beraksi mewakili skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik Munich pada 1972.

Choon Wah, 60, berkata, bagaimana pemain pertahanan kental Selangor dan skuad kebangsaan Datuk Soh Chin Aun tidak dapat menyertai skuad veteran Selangor kali ini.

Ujarnya, Chin Aun ketika ini berada di Slovakia mengikuti latihan skuad bawah 23 tahun kebangsaan yang dalam persiapan rapi menghadapi Sukan Sea Korat dan Pesta Bola Merdeka.

Selain itu katanya, dua lagi pemain iaitu Wong Hung Nung, Hanafiah Ali dan Karim Pin turut menarik diri daripada beraksi kerana masalah peribadi.

‘‘Skuad veteran akan diketuai oleh Santokh Singh, Datuk M. Chandran pula sebagai pengurus pasukan dan penasihat pasukan ialah Datuk Abdul Ghani Minhat.

‘‘Saya menjangkakan aksi paling menarik akan diberikan oleh veteran Selangor berdepan dengan veteran Singapura,’’ ujarnya.

Sementara itu, tiket-tiket perlawanan berhargai RM5 mula dijual di Stadium Shah Alam mulai Jumaat b pukul 10 pagi hingga 7 petang begitu juga keesokannya.

Selain di Stadium Shah Alam, peminat juga boleh mendapatkan tiket di Hard Rock Cafe, Planet Hollywood, Concorde Shah Alam, Quality Hotel City Center, Quality Hotel Shah Alam dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4vNtn4DEr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan