Isnin, 26 Jun 2017

Juara dalam kumpulan maut



ARKIB : 04/06/2006
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
 
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan mencabut undi Piala Malaysia sambil diperhatikan oleh Ibrahim Saad (kiri) di Hotel Royal Adelphi, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
  
SEREMBAN - Penyandang juara, Selangor mengharungi laluan paling getir untuk mempertahankan gelaran yang disandang apabila diundi dalam kumpulan ‘maut' pada saingan bola sepak Piala Malaysia bermula 1 Julai ini.

Dalam undian yang diadakan semalam di sini, Selangor diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara Liga Super musim ini, Negeri Sembilan Naza, Terengganu dan Sabah.

Sukar untuk meramalkan peluang Selangor ketika gelaran Piala FA terlepas dari genggaman kepada Pahang malah lebih parah mereka menduduki tangga terbawah Liga Super.

Atas kertas, Negeri Sembilan Naza yang masih segar dengan gelaran selaku juara baru Liga Super musim ini dijangka tidak menghadapi masalah berdepan dengan Selangor, Sabah dan Terengganu.

Bagaimanapun, skuad Jang itu tidak boleh memandang mudah cabaran Selangor yang kebiasaan memiliki semangat 'lebih' apabila beraksi dalam Piala Malaysia walaupun menduduki tangga tercorot liga.

Pasukan bimbingan jurulatih K.Devan itu perlu berwaspada dengan pasukan Selangor yang penuh dengan tradisi sejarah silam gemilang menjulang Piala Malaysia sebanyak 29 kali.

Undian Piala Malaysia itu merupakan yang pertama kali dibuat di Negeri Sembilan dengan disaksikan oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Juara Liga Perdana Kumpulan A, Kedah yang akan menentang Melaka dalam penentuan juara Liga Perdana pada 17 Jun ini di Alor Setar diundi dalam kumpulan B yang turut membariskan Johor FC, Telekom Melaka FC, dan Pulau Pinang.

Sementara itu, Juara Piala FA, Pahang akan berentap melawan bekas Juara Liga Super 2005, Perlis dalam Kumpulan C yang turut menanti saingan pasukan lain dalam kumpulan sama iaitu Selangor PKNS dan Sarawak.

Dalam pada itu, pasukan bergelar ‘Chelsea' Malaysia, MPPJ diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Melaka, Perak dan Brunei.

Devan ketika ditemui selepas majlis pengundian itu menyifatkan kumpulan yang diduduki oleh skuad bimbingannya merupakan kumpulan terkuat yang memerlukan perhatian serius.

"Bagaimanapun peluang kesemua pasukan adalah seimbang dan setanding untuk berjaya sampai ke pusingan kedua iaitu peringkat suku akhir.

"Kita mesti kekalkan prestasi cemerlang dan semangat tinggi yang dimiliki oleh para pemain pada masa ini untuk menempah tempat ke peringkat seterusnya sebelum merangkul kejuaraan. Tidak dapat tidak kita mesti bermula dengan kemenangan dalam perlawanan pertama menentang Selangor," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Selangor Dollah Salleh berpendapat Kumpulan A adalah kumpulan maut kerana kesemua pasukan bertanding adalah kuat dan memiliki kekuatan seimbang.

"Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk menebus kekecewaan dalam Liga Super bagi memberikan saingan kental kepada dalam semua perlawanan yang diharungi. Inilah yang akan menjadi pendorong kepada para pemain untuk membuktikan sesuatu kepada para penyokong setia," katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lARIFGiU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan