ARKIB : 22/05/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD dan
NORZIE KHASBI
BARISAN pemain Pahang meraikan
kejayaan mereka menewaskan Perlis 4-2 menerusi tendangan penalti pada
perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
- Gambar MOHD NOOR AMIN.
KUALA LUMPUR - Jurulatih
Pahang, Zainal Abidin Hassan menganggap kejayaan pasukannya menjulang Piala FA
kelmarin sebagai satu sejarah yang wajar dilupakan segera buat sementara waktu.
Bukan bererti dia tidak
berbangga dengan trofi persaingan bola sepak kalah mati negara itu tetapi
kerana mengenangkan misi lebih penting mempertahankan maruah Tok Gajah, sedang
menggamitnya sekarang.
``Tempoh meraikan kejuaraan FA
ini tidak akan panjang. `Hidup mati' kami menanti dalam perlawanan terakhir
Liga Super (esok). Misi ini lebih penting demi mengelak play-off liga musim
depan,'' katanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
``Tumpuan pasukan akan kembali
kepadanya,'' katanya, merujuk perlawanan dengan Pulau Pinang di Stadium Darul
Makmur, Kuantan yang mungkin menyelamatkan Pahang daripada menghuni dua tempat
terbawah Liga Super.
Tok Gajah yang menewaskan Perlis
4-2 dengan penentuan sepakan penalti, kelmarin, berada di ambang dua terbawah
liga untuk mengiringi Selangor ke play-off bersama enam pasukan Liga Perdana.
Enam pasukan teratas Liga Super
musim ini, akan kekal bersaing musim depan dan disertai juara dan naib juara
Liga Perdana manakala enam lagi tempat direbut oleh lapan pasukan dalam
play-off, bulan depan.
Bagaimanapun Zainal tetap
mengabadikan Piala FA yang kali pertama dimiliki oleh Pahang itu sebagai satu
langkah permulaan yang baik dalam menghadapi persaingan lebih berprestij, Piala
Malaysia.
Sementara itu, pemangku
jurulatih Perlis, Manja Man agak terkilan dengan kekalahan menerusi penentuan
tersebut apatah lagi aksi anak buahnya ternyata lebih baik sepanjang permainan
sebenar.
``Saya kagum dengan pemain
Perlis terutama prestasi dan kecergasan mereka dalam babak kedua dan masa
tambahan. Agak malang kerana kami terpaksa akur dengan penalti akhirnya,''
katanya.
Kedua-dua pasukan terikat 0-0
selepas 120 minit tetapi kegagalan penyudahan penalti oleh Affendi Malik dan
Lamin Conteh Hidayah memaksa Perlis kembali selaku naib juara sebagaimana edisi
Piala FA 2003.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6X2ZqRx©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan