Sabtu, 1 April 2017

Zainal optimis hadapi Felda

Syajaratulhuda Mohamad Rosli
1 April 2017
     Zainal optimis hadapi Felda
Boo Lim (duduk kiri), Zainal Abidin (dua dari kiri) dan Zairil (duduk kanan) bersama beberapa pemain Pulau Pinang menunjukkan jersi baharu pasukan itu.

KETUA Jurulatih Pulau Pinang baharu, Zainal Abidin Hassan optimis dalam menghadapi Felda United, Ahad nanti.

Menurutnya, sesi latihan berjalan lancar bermula Isnin lalu dan berharap akan memperolehi kemenangan pada 9 April nanti.

Beliau turut berharap agar Harimau Kumbang membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan pertama dibawah bimbingannya kerana menyifatkannya sebagai amat penting.

"Latihan berjalan dengan lancar dan persediaan dibuat sejak hari pertama saya membimbing Pulau Pinang. Apa yang penting, disiplin yang tinggi dalam pasukan, insyaALLAH kita akan memperoleh kemenangan nanti.

"Saya yakin Pulau Pinang akan menunjukkan prestasi yang baik namun saya tetap berdoa agar empat pemain yang mengalami kecederaan dapat beraksi semula untuk menentang Felda nanti," katanya kepada media.

Zainal Abidin berkata, Jafri Chew, S Kumaahran, Rafiuddin Roddin, dan Andy Russell sedang dipulihkan daripada kecederaan untuk waktu ini.

"Untuk waktu ini, semua pemain yang mendapat panggilan kebangsaan telah pulang dan menjalini latihan dengan segera. Nigel Dambiyaba pula akan mula berlatih pada Isnin ini kerana dia baru tiba dari Papua New Guinea.

"Apa yang penting, saya mahu pemain bermain dalam keadaan yang selesa dan tenang," katanya.

Terdahulu, Zainal Abidin bersama Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari dan Pengurus Besar Hotel Lone Pine, Khoo Boo Lim hadir di majlis kerjasama antara FAP dan Hotel Lone Pine dalam penjualan dan promosi jersi baharu Harimau Kumbang di Batu Feringghi di sini.

Mengulas tentang perkara itu, Zairil berkata, FAP kini bekerjasama dengan lebih 80 hotel sekitar negeri ini dalam penjualan jersi baharu itu.

"Jersi ini boleh dibeli di hotel-hotel sekitar Pulau Pinang yang mana, peminat bolasepak tidak perlu lagi ke pejabat FAP untuk pembelian jersi. Disamping mempromosikan jersi yang akan dipakai sepanjang musim ini, ia juga bertujuan mempromosi bolasepak Pulau Pinang.

"Terima kasih kepada Persatuan-Persatuan Hotel Malaysia (MAH) kerana menyokong pasukan Pulau Pinang dengan sudi bekerjasama dalam mempromosikan jersi. Peminat bolasepak boleh mendapatkannya di kedai  dalam hotel dengan harga RM65," katanya
Sumber=SINAR HARIAN ONLINE 1 April 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan