Oleh NOOR HASLIZA NUSI
ZAINAL (kanan) mahu pemain Pulau
Pinang mempamerkan aksi terbaik bagi mencari kemenangan sulung ke atas Felda
United dalam saingan Liga Super di Jengka, Pahang malam ini.
KETUA jurulatih baharu Pulau
Pinang, Zainal Abidin Hassan mengharapkan kemenangan sulung buat pasukan
kendaliannya pada perlawanan Liga Super menentang Felda United di Stadium Tun
Abdul Razak, Jengka, Pahang malam ini.
Menurut bekas pengendali Selangor
itu, beliau sememangnya mengidamkan satu keputusan yang berpihak kepada skuad
Harimau Kumbang biarpun mengakui kehebatan pasukan lawan.
“Kami bukan takut berdepan depan
Felda United, tetapi pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri termasuk
bermain di tempat sendiri. Prestasi mereka juga semakin meningkat.
“Sudah semestinya kita mahukan
kemenangan pertama dan saya beri kepercayaan kepada pemain untuk mempamerkan
persembahan terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Zainal memberitahu, pasukannya
sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan malam ini dan para pemain meluahkan
komitmen untuk memadamkan rekod kekalahan lampau.
“Biarpun kita terpaksa beraksi
tanpa kehadiran beberapa tonggak akibat kecederaan, tetapi saya pasti pemain
lain mampu menunjukkan kesungguhan mereka. Ini dapat dilihat semasa sesi
latihan sejak seminggu lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Zainal menambah,
untuk perlawanan malam ini, beliau telah melakukan beberapa perubahan termasuk
strategi perlawanan.
“Saya berharap pemain mempamerkan
aksi terbaik dan penuh disiplin. Kita tahu, Pulau Pinang sebelum ini gagal
memperoleh sebarang kemenangan sejak awal musim dan saya percaya akan berlaku
perubahan nanti,” ujarnya.
Pada 24 Mac lalu, Persatuan Bola
Sepak Pulau Pinang (FAP) mengumumkan Zainal sebagai ketua jurulatih baharu bagi
menggantikan Ashley Westwood dari England
sumberArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0409&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dji2QadDHakcipta
terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan