Ahad, 11 Disember 2016

imbasan Zainal 1999

ARKIB : 31/10/1999
Penyu, Singa Utara selesa 
Sementara itu, Perak bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali sebelum mencatat kemenangan 4-2 ke atas Selangor dalam satu lagi perlawanan kumpulan A di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Azrul Amri Burhan menjadi insprasi kemenangan Perak dalam separuh masa kedua menyaksikan tiga jaringan dihasilkan.

Salah satu daripadanya mendorong jaringan Liew Kit Kong pada minit ke-84 dan dua menerusi Azrul sendiri minit ke-55 dan 90.

Selangor bagaimanapun berjaya mendahului seawal minit kesembilan menerusi jaringan Rusdi Suparman sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan buat Perak pada minit ke-29.

Pada minit ke-43, Selangor kembali di depan menerusi jaringan Zainal Abidin Hassan namun Perak membalas tiga jaringan di separuh masa kedua.

Bermula babak pertama, Selangor tidak perlu menunggu lama untuk berada depan apabila Nazzab Hidzan yang berada di tengah padang melakukan hantaran jauh tepat kepada Rusdi yang menyambutnya sebelum melakukan jaringan pada minit ke-9.

Gol itu mengejutkan Perak menyebabkan Weigang memasukkan ayam tambatannya, M. Nagaraja pada minit ke-25 dan empat minit selepas itu, pemain lincah tersebut mengilhamkan gol penyamaan.

Selepas berjaya meloloskan diri di sebelah kiri pintu gol Selangor, Nagaraja hanya melakukan sepakan lemah tetapi bola tampanan penjaga gol lawan muntah ke arah Indra Putra yang kemudiannya menolak bola ke dalam jaring.

Selangor bagaimanapun tidak patah semangat, hantar cantik Rusdi pada minit ke-43 disudahkan pemain veteran, Zainal Abidin yang beraksi selaku penyerang dalam perlawanan ini.

Dengan kedudukan itu, Perak memasukkan perancang utamanya, Azrul Amri Burhan pada minit ke-55 separuh masa kedua dan hanya dua minit selepas itu, Azrul menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma.

Tidak cukup dengan gol itu, Perak menggandakan asakan, akhirnya gol ketiga dihasilkan pada minit ke-84 menerusi Liew Kit Kong yang merembat melepasi jangkauan penjaga gol Selangor.

Ketika permainan hampir tamat, Azrul menyempurnakan sepakan percuma untuk gol keempat pasukan tuan rumah pada minit-minit terakhir permainan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SXaDS4PY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan