ARKIB : 22/05/1999
SELANGOR mengekalkan kedudukan
di takhta liga apabila menewaskan Melaka 3-2 menerusi sepakan penalti setelah
seri 2-2 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Kubu, Melaka,
semalam.
Merah Kuning terus mengatasi
pencabar terdekat, Johor FC dengan kelebihan perbezaan gol, sekali pun lawan
turut meraih kemenangan pada peralawanan menentang Tentera.
Ketua pasukan, Zainal Abidin
Hassan menjadi wira pasukan pelawat itu apabila menyamakan kedudukan pada minit
ke-88, meskipun Melaka mendahului perlawanan sebelum itu dengan 2-1.
Gol-gol penalti Selangol oleh
Shamsul Amri Abu Bakar, Nazzab Hidzan dan Zainal Abidin Hassan, manakala Melaka
menerusi Rahudin Kasmani dan Omar Abdul Hadi.
Di Stadium Merdeka, Kuala
Lumpur, jaringan tunggal Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar menjadi penyelamat
maruah Johor FC apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Tentera.
Tentera yang menguasai babak
pertama, mendapat peluang terbaik pada minit ke-36, namun percubaan Mohd Rodsi
Tahir dari luar kotak penalti melencong ke sebelah kanan gol.
Johor FC kembali bangkit pada
tiga minit babak kedua tetapi hantaran cantik Shamsul Sulaiman ditanduk keluar
oleh Sheikh Ahmad Redzuan.
Pada minit ke-53, Johor FC
sekali lagi membuat gerakan berbahaya apabila Azni Ariffin melencongkan bola
kepada Sheikh Ahmad Redzuan tetapi sempat dihadang oleh pemain pertahanan
Tentera sebelum bola keluar.
Johor FC yang mengukuhkan
jentera serangan dengan memasukkan bekas pemain Sarawak, Shamsurin Abdul Rahman
tetapi masih gagal menambah gol.
Di Stadium Utama, Kangar, tuan
rumah Perlis memperkukuhkan kedudukan apabila menumpaskan Telekom Melaka empat
jaringan tanpa balas.
Singa Utara mendahului 3-0 pada
babak pertama menerusi jaringan Manzoor Azwira Abd Wahid seawal minit keenam,
Rozmin Musa (21) dan Hairil Zamri Abd Rashid ( 45).
V. Yogeswaran melengkapkan
kemenangan tuan rumah menerusi jaringannya, empat minit sebelum tamat
permainan.
Di Stadium Sultan Mohammad
ke-IV, Kota Bharu, TNB Kelantan mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan
pelawat, NS Chempaka.
Gol-gol TNB Kelantan diperoleh
menerusi jaringan Mohd Juhari Ghazali seawal minit kedua, Tuan Ismail Tuan
Ibrahim (15) dan Hamdi Ibrahim (70), manakala NS Chempaka melalui M. Sivam (7)
dan K. Olaga Shanker pada minit ke-66.
Di Stadium Larkin, Johor Bharu,
Tuan rumah Johor menang tipis 1-0 ke atas Kelantan menerusi jaringan Rosdee
Sulong pada minit ke-30.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rlnxt8K0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan