Rabu, 30 November 2016

Selangor menang penalti

ARKIB : 17/04/1999
SELANGOR mengukuhkan kedudukan di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan pencabar terdekat Johor FC 4-3 menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yop Majid dan Zainal Abidin Hassan manakala Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar dan Shukri Ismail.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik mereka pada babak pertama dengan barisan Selangor berjaya mencemaskan skuad tuan rumah seawal minit ketiga, namun sepakan percuma Nazzab Hidzan gagal disambar oleh K. Sanbagamaran dan juga Shamsul Amri Abu Bakar.

Selangor yang menggunakan strategi hantaran jauh berjaya mengkucar-kacir benteng pertahanan Johor FC pada minit ke-16, namun bola larian solo yang dilakukan Rusdi Suparman pantas disekat penjaga gol Johor FC, Shamsol Sabtu.

Pasukan pelawat mengejutkan penyokong Johor FC pada minit ke-26, namun jaringan Paidiya Rau tidak dikira oleh pengadil kerana ofsaid.

Johor FC mendapat peluang terbaik pada minit ke-32, namun tendangan kencang Azni Ariffin pada jarak 25 meter berjaya ditendang keluar oleh Nazzab yang berada di garisan gol.

Kedudukan tanpa jaringan pada masa penuh permainan memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti yang nyata menyebelahi Selangor untuk kemenangan 4-3.

Di Stadium Kubu, tuan rumah Telekom Melaka mencatat kemenangan keduanya dalam 90 minit permainan apabila menewaskan NS Chempaka 3-0.

Telekom Melaka membuka jaringan menerusi ketua pasukannya, Rosli Hasyim yang membuat tendangan lambung dari jarak 30 meter terus ke gawang pada minit ke-41.

Pada minit ke-48, tuan rumah menambah jaringan apabila R. Sekar menyempurnakan hantaran Rosli untuk gol kedua pasukannya. Rosli sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Kesilapan penjaga gol NS Chempaka yang cuba keluar jauh dari posisi membawa padah apabila Rosli yang membawa bola secara solo menolak masuk.

Di Stadium Sultan Mohamad Ke-4, Kota Bharu, tuan rumah Kelantan merampas kedudukan tangga ketiga liga apabila mengalahkan Perlis 2-1.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa pertama. Perlis mendahului menerusi jaringan V. Yogeswaran pada minit ke-52.

Begitupun, dua gol hasil jaringan Tan Cheng Hoe pada minit ke-59 dan Mohd Nidzam Adzha Yusof, minit terakhir permainan melengkapkan kejayaan bergaya tuan rumah untuk naik satu anak tangga.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RUQaSpSe © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan