Rabu, 30 November 2016

Sejarah 20 tahun berulang lagi -- Skuad Smithterus gagal penalti

ARKIB : 18/04/1999
SEJAK 20 tahun lalu, pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Ronald Smith tidak pernah bernasib baik apabila perlawanan bola sepak berkesudahan dengan tendangan penalti.

Keadaan itu berulang lagi pada perlawanan malam kelmarin apabila Johor FC terpaksa mengaku kalah kepada Selangor 3-4 setelah perlawanan sepenuh masa berkesudahan dengan seri tanpa jaringan.

Smith berkata, kemenangan perlawanan yang ditentukan melalui tendangan penalti adalah kurang adil dan ia lebih banyak bergantung pada nasib sesebuah pasukan.

Beliau yang ditemui, berkata, pihaknya lebih menerima keputusan perlawanan sekiranya kemenangan sesebuah pasukan itu ditentukan melalui jaringan emas.

"Sebagai jurulatih, tumpuan biasanya diberikan kepada persembahan dan strategi tetapi apabila terpaksa berhadapan dengan sepakan penalti, ia adalah satu perkara yang berbeza," katanya.

Menyingkap sejarah kekalahannya dalam sepakan penalti, katanya, ia bermula pada tahun 1979 di Iceland, begitu juga semasa menjadi jurulatih untuk pasukan Sabah pada tahun 1995 bila Sabah tewas kepada Pahang pada peringkat separuh akhir dan perlawanan ditentukan melalui penalti.

Begitu juga semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 1996 apabila Sabah terpaksa mengaku kalah kepada Selangor juga dengan tendangan penalti.

Beliau juga memberitahu, sepuluh mata yang boleh diperoleh melalui tendangan penalti membawa banyak perbezaan untuk sesebuah pasukan dan contoh terbaik ialah Selangor yang setakat ini mendapat tiga mata dan mampu melonjakkan pasukan itu berada di tangga teratas.

Pada sepakan penalti itu gol-gol pasukan Selangor dijaringkan oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yob Majid dan Zainal Abidin Hassan manakala gol-gol Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar dan Shukri Ismail.

Dengan kemenangan itu Selangor kini mengumpul 16 mata sementara Johor FC 14.

SUMBER- ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 17/04/1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan