Jumaat, 3 Januari 2020

Tak boleh cicir mata


Simpan Artikel
MyMetroNode

Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Jika berhasrat untuk menjulang gelaran selaku juara Liga Super musim ini, pemain Pahang tidak mempunyai pilihan selain menamatkan baki tujuh perlawanan musim ini dengan nota kemenangan.

Pengendali Tok Gajah Zainal Abidin Hassan berkata, sepanjang tempoh 22 hari perlawanan berkenaan, semua pemain perlu memiliki komitmen tinggi memandangkan jadual yang bakal diharungi memang padat.

Katanya, masa yang agak terhad untuk sesi latihan sebelum tirai Liga Super kembali disingkap 1 Ogos ini diharap mampu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia adalah peluang terbaik untuk menjulang Liga Super selepas Pahang melakukannya pada 2004.

“Saya akui tujuh perlawanan dalam tempoh 22 hari begitu mencabar dan seboleh-bolehnya pemain dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka untuk mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga.

“Tempoh masa terhad pada sesi latihan selepas cuti rehat Aidilfitri dapat mengembalikan tahap kecergasan sebelum memulakan perlawanan bertemu Sime Darby FC, 1 Ogos ini.

“Bagi saya, tiga mata menjadi keutamaan biar pun beraksi di gelanggang lawan dalam usaha mengukuhkan kedudukan di persada liga memandangkan pesaing terdekat iaitu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) mengekori rapat dengan ketinggalan dua mata saja,” katanya.

Pahang yang sudah mengharungi 15 perlawanan, sedang menerajui liga dengan 33 mata, lebih dua mata berbanding Johor DT.

Perebutan selaku pendahulu liga pastinya sengit kerana perlawanan musim ini hanya berbaki tujuh dan skuad kendalian Zainal Abidin perlu mengekalkan kedudukan itu jika mahu menjulang bergelar juara.

Justeru, Zainal Abidin meminta semua pemain memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan dan tidak terlepas sebarang mata.

“Apa yang perlu dilakukan pemain ialah meningkatkan persefahaman kerana masing-masing sudah tahu tanggungjawab mereka apabila berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:06 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan