Sukan
Rabu, 25 Februari 2015 | 8:08pm
Piala AFC: Gopinathan wira Pahang benam Yadanarbon 3-2
Pemain Pahang, R Gopinathan. - Foto Luqman Hakim Zubir
KUALA LUMPUR: Pahang membuka langkah kanan dalam kancah bola sepak Piala AFC selepas menewaskan Yadanarbon FC 3-2 dalam perlawanan pertama Kumpulan G di Stadium Mandalar Thiri di Mandalay, Myanmar, petang ini.
Wira pasukan adalah R Gopinathan yang meledakkan gol kemenangan seminit sebelum tamat permainan ketika anak didik Zainal Abidin Hassan seperti nyaris mahu pulang berbekal satu mata pada kedudukan 2-2.
Dua gol lain skuad Tok Gajah adalah sumbangan Dickson Nwakaeme pada minit ke-6 dan 13 manakala jaringan tuan rumah menyusul daripada gol sendiri pemain pertahanan Pahang, Damion Stewart pada minit ke-41 dan sepakan penalti oleh Djawa Maximin pada minit ke-57.
Pahang juga bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Razman Roslan dilayangkan kad merah pada minit ke-56 selepas satu kekasaran dalam kotak penalti.
Satu lagi perlawanan Kumpulan G membabitkan Global FC dari Filipina dan South China dari Hong Kong pada lewat hari ini di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina.
Pahang akan menerima kunjungan Global FC pada aksi kedua kumpulan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala South China akan menentang Yadanarbon FC di Stadium Mongkok, Hong Kong. Kedua-dua perlawanan berlangsung 11 Mac ini.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan