Khamis, 19 Disember 2019

Zainal yakin isu gaji selesai


SUKAN»Bola
Jumaat, 20 September 2019 | 7:43pm
 
KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan. NSTP/Owee Ah Chun.
Zainal yakin isu gaji selesai
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Pengendali Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan menyerahkan kepada pengurusan pasukan berkaitan isu tunggakan gaji berikutan fokusnya terarah kepada persiapan skuad berdepan Pahang pada suku akhir Piala Malaysia Ahad ini.

Menurutnya, dia yakin dengan kewibawaan pengurusan untuk semua proses berkenaan dan tidak mahu campur tangan.

“Pengurusan menjalankan tugasan dengan baik. Setiap orang mempunyai tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan,” kata Zainal.

“Malah kami bekerja keras untuk kemajuan pasukan dan bersama-sama untuk menjalankan tugas dengan paling penting fokus suku akhir perlu diutamakan buat saya ketika ini.”

Hari ini NSTP melaporkan di sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad MU dibelenggu masalah tunggakan dua bulan gaji.

Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan MU tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.

Pengurus MU Mohd Yusoff Mahadi berkata dia berharap kejayaan layak ke suku akhir Piala Malaysia akan membuatkan penaja menyuntik dana seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Menurutnya, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan penaja untuk melunaskan janji mereka dan ia diharap menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

“MUSA sedang berusaha untuk melunaskan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain. Mereka (pemain) sudah mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dengan layak ke suku akhir dan kami harap penaja akan membuktikan komitmen mereka pula,” kata Yusoff.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji kepada pemain MU hangat diperkatakan di media sosial dan ia mendapat pelbagai reaksi peminat setia Hang Tuah yang mahu MUSA mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah terbabit.[1]


[1]https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/09/609100/zainal-yakin-isu-gaji-selesai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan