MyMetroNode
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur:
Pengendali Selangor Zainal Abidin Hassan mengingatkan barisan pemainnya supaya
sentiasa berwaspada setiap terjahan keras ke atas pemain Pulau Pinang apabila
kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang),
malam ini.
Jelas sekali
mesej Zainal itu merujuk kepada pakar sepakan percuma skuad Harimau Kumbang
Faiz Subri yang diakui ramai memiliki kemampuan untuk menghasilkan jaringan
cantik menerusi situasi bola mati.
“Saya ingin
ingatkan pemain supaya lebih berhati-hati ketika melakukan terjahan ke atas
pemain Pulau Pinang terutama di depan kubu pasukan.
“Kita tahu
keupayaan Faiz dalam memanfaatkan sepakan percuma itu. Jadi, saya harap pemain
lebih berhati-hati,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Nama penyerang
Pulau Pinang itu secara tiba-tiba ‘meletup’ apabila menjadi perhatian peminat
bola sepak dunia selepas melakukan jaringan paling unik dalam aksi Liga Super
bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lalu.
Faiz membuat
sepakan dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62 yang secara tiba-tiba
melencong laju menjunam untuk singgah ke penjuru atas kanan gawang sekali gus
menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Nourdin.
Malah,
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga menerusi surat bertarikh 22 Februari
lalu mencadangkan kepada FIFA supayagol jaringan pemain berusia 29 tahun itu
dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016 yang dijangka berlangsung Januari tahun
depan.
Jelas Zainal,
moral pemainnya kini berada pada tahap terbaik selain segala persiapan untuk
menghadapi perlawanan kelapan liga itu berjalan lancar.
“Pemain semua
cergas dan ini menunjukkan keadaan positif. Kita sudah sampai di pertengahan
liga jadi mesti gunakan setiap peluang untuk meraih sebanyak mata.
“Lagipun
kejayaan mereka mengikat Kedah 2-2 tempoh hari menunjukkan Pulau Pinang bukan
calang-calang pasukan,” katanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 7:41 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan