Selasa, 2 April 2019

Zainal, Razman kekal bersama Tok Gajah musim 2015


KAPTEN Pahang, Razman Roslan
KAPTEN Pahang, Razman Roslan memegang Piala Malaysia sewaktu majlis perarakan Piala Malaysia di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.
04 November 2014 1:46 AM

KUANTAN – Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengesahkan jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan dan ketua pasukan, Mohd. Razman Roslan akan kekal bersama Tok Gajah pada musim depan.

Tengku Abdul Rahman berkata, beliau juga percaya sebahagian besar pemain Pahang yang menjadi tonggak utama ketika memenangi Piala Malaysia 2014 akan kekal bersama Tok Gajah.


“Zainal Abidin dan Mohd. Razman akan bersama Pahang kerana saya tak pernah dengar apa-apa cakap daripada mereka mengenai perpindahan ke pasukan lain.

“Saya juga akan berbincang dengan pegawai-pegawai PBNP mengenai status pemain termasuk meneliti semula kontrak mereka yang mungkin akan tamat tahun ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini semalam.

Tambah beliau, menjadi hasratnya untuk mengekalkan pasukan yang ada, namun jika para pemain sudah mendapat peluang yang lebih baik di luar itu terpulang kepada mereka.

Mengulas mengenai masa depan penyerang import, Dickson Nwakaeme, beliau memberitahu, pemain itu melahirkan hasrat untuk bermain di Eropah dan memaklumkan akan menjalani ujian bersama sebuah kelab di Perancis.

“Andai gagal di sana, dia boleh kembali kepada Pahang pada tahun hadapan kerana kita sentiasa terbuka menerimanya untuk bermain di dalam skuad Tok Gajah,” ujarnya.

Mengenai pemain baharu yang akan dibawa ke dalam skuad Tok Gajah, Tengku Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan bahawa Pahang perlu membeli beberapa permain yang berkualiti sebagai persiapan pada tahun hadapan terutama untuk beraksi dalam kancah Piala AFC.

“Jika saya diberi peluang, saya akan pilih pemain Kedah, Badrol Bakhtiar untuk bermain dengan Pahang tetapi mestilah dibuat melalui saluran yang betul kerana saya tak mahu ambil pemain yang masih terikat dengan kontrak,” jelasnya.

Sementara itu mengenai perlawanan final Piala Malaysia Sabtu lalu, beliau melahirkan rasa bangga kepada semua pemain yang menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan tidak berputus asa untuk tampil dengan aksi yang cemerlang meskipun bermain dengan 10 orang pemain selain ketinggalan satu gol.

“Taktikal memang terpaksa diubah sebab kita kehilangan pemain pertahanan, Saiful Nizam Miswan. Saya akui ketika itu memang ada rasa tidak selesa.

“Bagaimanapun, saya percaya semua pemain mempunyai semangat untuk menang dan itu yang dilakukan dalam perlawanan tempoh hari. Saya akui Pahang memang ‘King of Come Back’,” katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/zainal-razman-kekal-bersama-tok-gajah-musim-2015-1.20459#ixzz5jxfjp0EX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan