Khamis, 11 April 2019

Selangor kembali 'bernyawa' selepas benam kelab Bangladesh


 
JURULATIH pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Kemenangan pertama yang dicatat Selangor pada Piala AFC menentang Sheikh Jamal Dhamondi sedikit sebanyak mendatangkan kelegaan kepada pengendalinya, Zainal Abidin Hassan.

Selepas kemerosotan prestasi pada tiga aksi terakhir yang menyaksikan mereka tewas tiga kali berturut-turut, kemenangan diraih ke atas kelab Bangladesh itu pastinya mampu meniup kembali semangat The Red Giants untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Pengendali berusia 55 tahun itu turut gembira selepas meraih tiga mata pertama dalam saingan Piala AFC, sekali gus membuka kembali peluang untuk Selangor kembali 'bernyawa' dalam usaha mara ke peringkat seterusnya.

"Saya gembira kerana akhirnya memperoleh tiga mata penting yang membolehkan kami terus bersaing dalam kumpulan ini dan memberi motivasi tambahan untuk kami pergi lebih jauh pada saingan kali ini," katanya selepas perlawanan yang disiarkan menerusi laman web AFC - www.the-afc.com hari ini.

Namun, Zainal berkata pemain beraksi dalam keadaan yang begitu tertekan sehingga mereka gagal memperaga aksi seperti biasa menyebabkan melakukan banyak kesilapan sehingga dihukum Sheikh Jamal yang menyaksikan mereka dibolosi tiga gol.

"Tetapi aspek positif yang boleh diambil daripada perlawanan tadi (semalam) ialah pemain berjaya bangkit semula dua kali walaupun ketinggalan.

"Mereka bekerja dengan begitu keras dan inilah ganjaran yang mereka peroleh apabila menang dan mampu kembali dalam saingan ini," katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Bangabandhu itu, tuan rumah mendahului menerusi jaringan Landing Darboe sebelum Patrick Ronaldinho Wleh mengikat kedudukan dan jaringan R Gopinathan membolehkan Selangor mendahului 2-1 pada minit ke-53.

Namun dua gol pantas daripada Emeka Onuoha dan Wedson Anselme membolehkan tuan rumah kembali mendahului 3-2 sebelum dua gol jaringan Mauro Olivi membolehkan Selangor pulang dengan tiga mata berharga.

Kemenangan itu tidak mengubah kedudukan Selangor yang kekal di tangga ketiga Kumpulan E dengan empat mata, namun hanya dibezakan satu mata dengan Ceres La Salle di tangga kedua.

Kelab Sheikh Jamal pula kekal di tempat tercorot Kumpulan E tanpa sebarang mata.
SUMBER-BERIITA HARIAN Rabu, 16 March 2016 | 12:16pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan