Isnin, 27 November 2017

Peluang Pahang masih terbuka



ARKIB : 05/07/2008
Zainal Abidin Hassan mengakui 'sesak nafas' dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan anak buahnya sebelum ini namun agak lega berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja keras mereka kelmarin.

KUANTAN - Masih ada peluang buat Pahang untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menang tipis ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Darul Makmur kelmarin, lapor SHAMSIAH ZULKAFLI.

Namun tegas jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan, untuk melayakkan diri merebut piala berprestij itu, skuad kendaliannya tidak boleh lagi mengalami kekalahan dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.

Mengakui 'sesak nafas' dengan prestasi tidak menentu yang ditunjukkan skuad Tok Gajah dalam saingan merebut piala tersebut sebelum ini, Zainal Abidin kini boleh menarik nafas lega berikutan kemenangan tiga mata penuh hasil kerja keras anak-anak buahnya.

''Perlawanan kelmarin adalah penentu hidup dan mati, namun kesungguhan pemain akhirnya berbalas melalui tiga mata berharga yang memang dicari.

''Dengan kemenangan itu, impian Pahang untuk layak ke suku akhir masih terbuka," katanya ketika ditemui sejurus perlawanan baru-baru ini.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, beliau berkata, pemain-pemainnya bermain dengan agak baik pada separuh masa pertama terutamanya di posisi tengah dan pertahanan.

Bagaimanapun katanya, masalah yang sama iaitu jentera serangan seolah-olah hilang taring kerana dua gol kemenangan Pahang disumbat pemain-pemain bahagian pertahanan iaitu Keita Boubacar dan Nor Fazly Alias.

''Kita dapat banyak peluang, namun gagal disempurnakan, jika terlepas satu atau dua peluang tidak mengapa, tapi tiga hingga empat peluang adalah sesuatu yang tak sepatutnya berlaku," katanya.

Mengenai gol tunggal ATM pada minit ke-84 oleh Mohd. Nazri Akui, faktor jadual perlawanan yang terlalu padat menyebabkan pemainnya letih kerana tidak mendapat rehat yang cukup selain perlu bermain di tempat lawan, ujarnya.

Ditanya apakah beliau merancang untuk mengubah semula posisi di bahagian serangan, Zainal Abidin berkata, beliau akan mengkaji semula kedudukan kesebelasan pemain utama Pahang.

Bagaimanapun katanya, dua pemain yang terpaksa direhatkan kerana kecederaan sebelum ini iaitu Rosdi Talib dan Redouane Barkaoui mungkin akan diturunkan bagi menentang Johor Pasir Gudang di Stadium Darul Makmur, esok.

''Tapi kita akan lihat sejauh mana keadaan mereka, jika sembuh seratus peratus, kehadiran mereka boleh memperkuat barisan pemain Pahang," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zdVnyTEo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan