Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
ZAINAL berang dengan barisan pemainnya. FOTO Syafeeq AhmadKota Kinabalu: Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan bengang dengan kesilapan mudah dilakukan anak didiknya sehingga membolehkan Sabah Football Club (FC) memperolehi dua gol awal dalam aksi Liga Super, di Stadium Likas, semalam.
Katanya, ia bukan kali pertama pemainnya melakukan kesilapan sedemikian malah ia sudah seperti menjadi satu kebiasaan yang merugikan pasukan.
"Mereka membuat kesilapan bodoh di awal permainan sehingga Sabah FC mendapat dua gol, bukan mudah untuk kita cuba bangkit semula selepas ketinggalan dua gol, lebih-lebih lagi bermain di gelanggang lawan dengan pemain-pemain tuan rumah begitu bersemangat.
"Saya mahu mereka mempelajari kesilapan ini dan tidak mengulanginya pada aksi-aksi akan datang, ia sudah seperti menjadi satu 'habit', saya harap pemain memberikan 'titik noktah' kepada kesilapan-kesilapan mudah ini," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu, semalam.
Zainal berkata, pemainnya cuba bangkit terutama di separuh masa kedua namun gagal kerana jurang gol yang agak besar.
Bagaimanapun, beliau tetap memuji semangat melawan pemain yang cuba sedaya upaya untuk mendapatkan gol sehingga tamat perlawanan.
"Untuk aksi seterusnya, kita perlu hentikan kesilapan bodoh seperti malam ini (semalam), pasukan lain sudah mula maju tetapi kita pula semakin ke belakang," katanya.
Dalam aksi semalam, Sabah FC mendahului Melaka United hasil dua jaringan pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahya dan satu jaringan oleh Mohd Azzizan Nordin manakala gol tunggal Melaka United dijaringkan Mohd Fakhrullah Rosli.
Dengan kekalahan itu, Melaka United jatuh ke tangga ke-10 dengan 10 mata hasil daripada tiga kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.
Aksi seterusnya Melaka United ialah bertemu PJ City di gelanggang sendiri pada Ahad.
Disiarkan pada: Mei 6, 2021 @ 3:01pm.1
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/703046/pemain-buat-kesilapan-bodoh-zainal
Tiada ulasan:
Catat Ulasan