Selasa, 22 September 2020

Usah sia-sia peluang di Kuantan

 ROSILAWATI ROSEDI

2 Mac 2015



Usah sia-sia peluang di Kuantan Zainal percaya aksi berdepan JDT satu cabaran sukar bagi kedua-dua pasukan.

PENGENDALI Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan mahu anak-anak buahnya tidak mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri, sekali gus memastikan kemenangan apabila melayan kunjungan Harimau Selatan aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini, malam ini.


Menurutnya, kemenangan menjadi buruan Tok Gajah untuk melangkah ke pusingan seterusnya dan pertemuan menentang Johor Darul Ta’aim (JDT) itu pastinya mengundang aksi sengit daripada kedua-dua pasukan.


Aksi di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin dan walaupun memang kita mengakui ada sedikit kepenatan, namun ia bukan menjadi alasan untuk cepat mengalah.


Malah dengan kejayaan pasukan melakar kemenangan ke atas Yadarnabon FC pada Rabu lalu, memang menyuntik lagi semangat pemain untuk perlawanan esok (hari ini),” katanya mengakui semua pemain tidak sabar untuk berdepan lawan.


Mengakui para pemain sudah sedar dan semakin mendapat rentak, Zainal Abidin turut menggesa pemain supaya menggandakan usaha dan mengekalkan disiplin baik hingga ke wisel penamat.


Ditanya keadaan penyerang kebangsaan, Azamuddin Mohd Akil ataupun mesra dipanggil Alex itu, dia memberitahu, pemain itu masih tidak dapat turun beraksi kerana mahu memberikan peluang buat pemain kelahiran Lipis itu bersedia sepenuhnya selepas mengalami kecederaan lutut kanan sejak penghujung Disember tahun lalu.


Tetapi saya yakin dengan semangat juang, pemain lain akan berusaha sehabis mungkin untuk tidak menghampakan harapan penyokong Pahang yang mahukan kemenangan buat kita malam esok (ini).


Kami mohon doa dan sokongan peminat Pahang untuk kejayaan pasukan kesayangan mereka,” katanya.


Pada musim lalu, Pahang menghampakan skuad kendalian Bojan Hodak itu di pusingan separuh akhir dengan agregat 2-1.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 3.2.2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan