Khamis, 7 November 2019

Zainal bebas pilih pemain


MyMetroArena
 
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
JURULATIH Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan diberi kepercayaan memilih barisan pemain skuad terbabit dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Damian Yeo Shen Li berkata, pengendali berkenaan bebas memilih pemain sesuai dengan perancangannya untuk membentuk barisan pasukan terbaik 2020.

Menurutnya, jurulatih itu juga diberi ruang untuk menyenaraikan pemain tempatan dan import berdasarkan bajet yang relevan untuk pasukan musim depan.

"Apa yang kami harapkan dia mampu membentuk pasukan yang positif kali ini untuk tidak menghampakan pasukan terutama penyokong setia. Dalam masa sama kami akan melantik wakil penyokong dalam jawatankuasa persatuan untuk memberi pandangan bernas kepada kemajuan pasukan dan persatuan," katanya.

Dia yang dilantik sebagai presiden baharu yang diumumkan Ketua Menteri, Adly Zahari yang melepaskan jawatannya sebagai presiden persatuan itu berkata, sokongan peminat diyakini memberi kekuatan moral kepada barisan kejurulatihan dan pemain untuk menghasilkan persembahkan membanggakan.

Pelantikan Damian berdasarkan Artikel 40 persatuan yang menyatakan siapa saja dipilih sebagai ketua menteri secara automatik adalah Presiden MUSA dan boleh melantik sesiapa saja dianggap sesuai sebagai presiden.

Damian berkata, MUSA juga merancang mengadakan pertemuan dengan peminat bersama persatuan itu bagi membolehkan idea mereka diberi perhatian sewajarnya dalam melonjak imej pasukan. Malah perjumpaan yang dirancang sebelum ini tidak menjadi kenyataan sehingga musim liga Malaysia berakhir dengan skuad terbabit tersekat di suku akhir kepada Pahang.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:46 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan