ARKIB : 03/10/2008
KUALA LUMPUR – Bekas penyerang
kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula
seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini
sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor
ABDUL HAFIZ AHMAD.
Mereka yang turut pernah mewakili
Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang
itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap
tirainya pada Januari tahun depan.
Zainal yang sebelum ini pernah
melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum
beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada
majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor,
semalam.
“Menerajui sebuah pasukan
bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami
beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,”
katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek
tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.
Teka-teki pasukan kendalian
Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan
kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu
berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat
tawaran Johor-Pasir Gudang.
Bagaimanapun kata Zainal: “Pada
dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden
Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama
lagi.”
Shahzan Muda sebelum ini
dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan
13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada
Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala
Malaysia.
Pencapaian Selangor di bawah
Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga
keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal
menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA
dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan