Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm
DOLLAH Salleh (kanan) dan Zainal Abidin Hassan.
Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang pernah bergandingan
mengendali Pahang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2013 kini bakal
bertembung sebagai seteru pada aksi suku akhir musim ini.
Dua bekas pemain kebangsaan itu masing-masing membimbing Pahang dan Melaka
United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan pertembungan pada
Ahad ini bakal menilai kemampuan taktikal kedua-dua pengendali itu.
Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya tidak rela misi menjulang
kejuaraan bersama skuad Tok Gajah musim ini disekat Melaka United kendalian
bekas rakan sepasukan kebangsaannya itu.
"Apa sekalipun, dalam bola sepak setiap jurulatih mahukan kemenangan
dan begitu juga saya yang mengharapkan Pahang menang apabila berdepan Melaka
United,” kata Dollah.
"Begitu juga Zainal Abidin kerana kami dalam bola sepak bukan baru dan
menjadi lumrah apabila bersaing untuk meraih kejayaan."
Musim ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super
menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri 1-1.
Namun, kali ini ia pentas yang berbeza selepas kebangkitan yang dilakukan
skuad kendalian Zainal Abidin untuk mengetepikan FELDA United FC dan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.
Pada perlawanan suku akhir pertama Ahad ini, Dollah dijangka menyenaraikan
kesebelasan terbaik termasuk penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme.
Pahang turut menagih sentuhan pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah
menjaringkan 11 gol musim ini termasuk jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang
2-0, Rabu lalu.
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan