Isnin, 26 Jun 2017

Kekal Super lebih penting - Zainal



ARKIB : 22/05/2006
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD dan NORZIE KHASBI
BARISAN pemain Pahang meraikan kejayaan mereka menewaskan Perlis 4-2 menerusi tendangan penalti pada perlawanan akhir bola sepak Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. - Gambar MOHD NOOR AMIN.

KUALA LUMPUR - Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan menganggap kejayaan pasukannya menjulang Piala FA kelmarin sebagai satu sejarah yang wajar dilupakan segera buat sementara waktu.

Bukan bererti dia tidak berbangga dengan trofi persaingan bola sepak kalah mati negara itu tetapi kerana mengenangkan misi lebih penting mempertahankan maruah Tok Gajah, sedang menggamitnya sekarang.

``Tempoh meraikan kejuaraan FA ini tidak akan panjang. `Hidup mati' kami menanti dalam perlawanan terakhir Liga Super (esok). Misi ini lebih penting demi mengelak play-off liga musim depan,'' katanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

``Tumpuan pasukan akan kembali kepadanya,'' katanya, merujuk perlawanan dengan Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang mungkin menyelamatkan Pahang daripada menghuni dua tempat terbawah Liga Super.

Tok Gajah yang menewaskan Perlis 4-2 dengan penentuan sepakan penalti, kelmarin, berada di ambang dua terbawah liga untuk mengiringi Selangor ke play-off bersama enam pasukan Liga Perdana.

Enam pasukan teratas Liga Super musim ini, akan kekal bersaing musim depan dan disertai juara dan naib juara Liga Perdana manakala enam lagi tempat direbut oleh lapan pasukan dalam play-off, bulan depan.

Bagaimanapun Zainal tetap mengabadikan Piala FA yang kali pertama dimiliki oleh Pahang itu sebagai satu langkah permulaan yang baik dalam menghadapi persaingan lebih berprestij, Piala Malaysia.

Sementara itu, pemangku jurulatih Perlis, Manja Man agak terkilan dengan kekalahan menerusi penentuan tersebut apatah lagi aksi anak buahnya ternyata lebih baik sepanjang permainan sebenar.

``Saya kagum dengan pemain Perlis terutama prestasi dan kecergasan mereka dalam babak kedua dan masa tambahan. Agak malang kerana kami terpaksa akur dengan penalti akhirnya,'' katanya.

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 selepas 120 minit tetapi kegagalan penyudahan penalti oleh Affendi Malik dan Lamin Conteh Hidayah memaksa Perlis kembali selaku naib juara sebagaimana edisi Piala FA 2003.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4l6X2ZqRx© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan