Ahad, 11 Oktober 2020

Lebih banyak 'kerja rumah' : Zainal

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

Melaka: Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan mengakui perlu melakukan lebih banyak 'kerja rumah' bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bakal bermula 25 Oktober ini.

Justeru, fokus itu bakal terarah kepada persiapan bagi mengharungi saingan piala berprestij terbabit untuk memastikan persembahan pasukan lebih baik selepas mengakui kecewa kekalahan 0-5 skuad bimbingannya kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Baginya, jaringan pertama pelawat menerusi sepakan penalti jelas mempengaruhi tumpuan pemain yang akhirnya mendera emosi pasukan untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata berharga.

Beliau tidak menafikan kekalahan di tangan pasukan gergasi itu agak mengecewakan namun permainan harus diteruskan meskipun keputusan pengadil perlawanan memberikan penalti itu tepat atau sebaliknya.

"Pemain beraksi dengan begitu baik sehingga ke minit ke-70 perlawanan malah mempamer disiplin tinggi untuk terus menyerang kubu JDT.

Bagaimanapun, keputusan penalti membunuh semangat pemain yang lambat bangkit.

"Situasi itu jelas 'turning point' kepada daya tumpuan pasukan yang terleka sehingga empat gol lagi dibolosi lawan yang nyata bijak mengambil kesempatan atas kesilapan terbabit. Kita tahu JDT adalah pasukan gergasi dan mereka mendominasi perlawanan namun disiplin pemain kita harus diberi pujian. Cuma pada 15 minit terakhir jelas menghampakan kita kerana pemain amat kecewa dengan keputusan penalti, itulah yang 'membunuh' kami," katanya.

Apapun, beliau memahami pemain amat kecewa dengan keputusan sepakan penalti namun sepatutnya mereka perlu membuang segera perasaan itu untuk meneruskan corak persembahan yang konsisten.

Sehubungan itu, emosi yang kental dituntutnya pada saingan Piala Malaysia kelak berikutan kekuatan mental dan fizikal mereka boleh menjadi faktor kekalahan dan kemenangan pasukan.

Zainal berkata, pemain harus segera melupakan kekecewaan di pentas liga untuk kembali ditebus dengan cemerlang pada saingan itu kelak.

Malah beliau yakin dengan kemampuan pasukannya untuk lebih bersedia di pentas Piala Malaysia sekali gus mendorongnya mengingatkan mereka untuk tidak melepaskan peluang terhidang bagi mencipta jaringan.

Katanya, tempoh dua minggu akan digunakan sebaik mungkin yang bakal dijadikan kayu pengukur kepada persembahan pasukan pada aksi sebenar kelak.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 4:42 PM