Selasa, 30 April 2019

8 bekas pemain Malaysia dapat penghormatan AFC

ARKIB : 04/02/1999
LAPAN bekas pemain Malaysia adalah antara 14 pemain yang bakal menerima penghormatan sebagai anggota rasmi AFC Century Club dalam satu majlis yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 11 Februari ini.

Mereka terdiri daripada Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, R. Arumugam, Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir, Shukor Salleh, Ahmad Yusof dan Zainal Abidin Hassan.

Para pemain lain yang disenaraikan dalam Kelab Seabad (Century Club) itu ialah Majed Abdullah (Arab Saudi), Choi Soon Ho (Korea), Wail Suliman Al Habashi (Kuwait) dan Hamoud Sultan Madkhoor (Bahrain).

Kelab itu ditubuhkan oleh AFC sebagai penghormatan untuk mana-mana pemain yang mewakili negara melebihi 100 perlawanan kelas 'A'.

Dua daripada lapan pemain Malaysia yang berada dalam senarai itu sudah meninggal dunia. Mereka ialah Mokhtar Dahari yang meninggal dunia pada 1991 dan R. Arumugam pada 1988.

Kedua-duanya akan diwakili oleh isteri mereka pada majlis itu. Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah Presiden AFC, Sultan Ahmad Shah, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC dan tokoh-tokoh bola sepak tanah air.

Kesemua 14 pemain itu dipilih berdasarkan sokongan dokumentasi yang dikemukakan oleh persatuan masing-masing.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Peter Velappan berkata, pengiktirafan itu diberi kepada para pemain yang telah mewakili negara melebihi 100 perlawanan.

Katanya, atas sebab itulah Century Club telah ditubuhkan.

''Rekod pencapaian pemain-pemain ini nyata sukar ditandingi. Mungkin ada antara mereka sudah bersara ataupun sudah tiada lagi tetapi sumbangan dan jasa mereka untuk bola sepak Asia harus dicatat dan dihormati.

''Senarai pemain untuk Century Club merupakan amalan berterusan dan kami sentiasa mengikuti perkembangan calon-calon lain yang akan mencapai status berkenaan pada tahun depan,'' ujar beliau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PsDtX59S © Utusan Melayu (M) Bhd

Third The National Soccer Award


1 April 1997
Jointly organised by the FA of Malaysia (FAM), Sportswriters Association of Malaysia (SAM) and Glamoir World of Sports
Player of the Year: Zainal Abidin Hassan
Striker of the Year: Azman Adnan
Midfielder of the Year: K. Sanbagamaran (Selangor)
Defender of the Year: B. Rajnikandh (Negeri Sembilan)
Goalkeeper of the Year: Khairul Azman Mohamed
Most Valuable Foreign Player: Merzagua Abderrazzak (Pulau Pinang)
Most Promising Player of the Year: Che Zambil Ahmad (Kedah)
Manager of the Year: Datuk Mohamed Aini Taib (Selangor)
Coach of the Year: Ronald Smith (Sabah)
Fan Club of the the Year: Selangor
Best Youth Performance: Selangor
Referree of the Year: V.K.S. Sinniya


Perlawanan Akhir PIALA FA SELANGOR 1-0 PULAU PINANG.


02 Ogos 1997 (Sabtu)
Selangor
Azman Adnan (8')
Azlisham Ibrahim, Syamsul Amri, Mehmet Durakovic, K. Gunalan, Zainal Abidin Hassan, Assrof Hanafiah, Asmawi Bakri (Shahril Arsat), Ismail Ibrahim, K. Sanbagamaran, Azman Adnan, Rusdi Suparman, Tony Cottee
Coach: Steve Wicks          1-0     Pulau Pinang
Zamri Mat Arif, Yong Woon Seang, S. Nantha Kumar (Tan Cheng Hoe), Rahim Hassan, Carlos Rodriguez, Moey Kok Hong (Ghafar Hoosen), Ooi Hoe Guan, Manzoor Azwira Wahid (R. Suresh Kumar), Balla Conde, G. Shanmugam, Abu Kanu
Coach: Moey Yoke Ham   Std Perak, Ipoh
SUMBER- https://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/search/label/Liga%20Malaysia%201997

Sabtu, 27 April 2019

Dollah, Zainal terajui Shahzan Muda


ARKIB : 03/10/2008
 KUALA LUMPUR – Bekas penyerang kembar negara, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh bakal bergandingan semula seperti zaman kegemilangan mereka pada era 80-an dan awal 90-an tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan dan jurulatih kelab Liga Perdana, Shahzan Muda, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Mereka yang turut pernah mewakili Selangor dalam karier sebagai pemain, dijangka sama-sama menerajui kelab Pahang itu bagi menghadapi persaingan bola sepak Liga Malaysia yang menyingkap tirainya pada Januari tahun depan.

Zainal yang sebelum ini pernah melatih dan membawa Pahang memenangi Liga Super 2004 dan Piala FA 2006 sebelum beralih kepada pengurus musim 2007-2008, mengesahkan haluan barunya itu pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, semalam.

“Menerajui sebuah pasukan bersama-sama Dollah memang menjadi idaman saya sejak sekian lama setelah kami beberapa tahun bergandingan sebagai penyerang Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya di mana anaknya, Zaiza Zainal bakal meneruskan khidmat selaku bek tengah Gergasi Merah bagi semusim lagi.

Teka-teki pasukan kendalian Dollah selepas khidmatnya tidak disambung oleh Selangor musim depan, terjawab dengan kenyataan Zainal itu walaupun sebelum ini rakan karibnya itu menyatakan mahu berehat terlebih dulu sepanjang bulan puasa lalu dan dikhabarkan mendapat tawaran Johor-Pasir Gudang.

Bagaimanapun kata Zainal: “Pada dasarnya saya bersetuju tetapi satu pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, tidak lama lagi.”

Shahzan Muda sebelum ini dibimbing oleh Tajuddin Nor, dengan menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Perdana dan terkandas pada pusingan pertama Piala FA kepada Kuala Lumpur secara agregat 4-0 sepanjang musim 2007-08 selain gagal ke Piala Malaysia.

Pencapaian Selangor di bawah Dollah pula sepanjang musim lalu menyaksikan skuad Merah Kuning di tangga keempat Liga Super, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia sementara Zainal menguruskan Pahang yang menduduki tempat kelapan liga, separuh akhir Piala FA dan gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz50TgnewVu
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 30/09/2008

Rabu, 24 April 2019

Piala AFC: Pahang fokus perbaiki kelemahan jentera serangan


Sukan
Khamis, 12 March 2015 | 6:38pm
Piala AFC: Pahang fokus perbaiki kelemahan jentera serangan
 
PENGENDALI Pahang, Zainal Abidin Hassan. - Foto Farizul Hafiz Awang
KUANTAN: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan melihat kelemahan pemain melakukan sentuhan penyudah mengundang kekecewaan dalam kempen Piala AFC dan ia akan diperbaiki secepat mungkin.

Dia mahu melihat kepincangan ini dapat diatasi sebelum pertemuan berikut menentang

South China FC dari Hong Kong pada 15 April ini di tempat lawan

Katanya, dalam pertemuan dengan pasukan Global FC, malam semalam semua pemain menunjukkan kemahuan tinggi untuk menjaringkan gol namun terpaksa akur dengan perkongsian satu mata selepas seri tanpa jaringan.

"Kekurangan pemain (malam tadi) lalai menyempurnakan peluang yang banyak terhidang.

"Mereka (pemain Pahang) berusaha keras nak mencipta gol tetapi dikecewakan dengan sentuhan terakhir, tiada nasib untuk dapat gol yang perlu diperbaiki secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan dengan Global FC malam tadi.

Walaupun pemainnya dilihat kepenatan Zainal berkata, mereka perlu terus menjalankan tugas untuk menyiapkan diri bagi berkunjung di tempat lawan dengan ketahanan mental dan displin yang tinggi.

Beliau akan memperbaiki segala kelemahan yang timbul selain hanya akan menurunkan pemain yang boleh memberi tumpuan 100 peratus.

Pada perlawanan pertama, Pahang menang tipis 3-2 ke atas kelab Myanmar, Yadanarbon FC di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar pada Februari lalu manakala Global FC kalah 6-1 kepada pasukan Hong Kong, South China FC.

Pahang akan meneruskan kempen Piala AFC menentang South China FC pada 15 April ini. – BERNAMA
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 12 March 2015 | 6:38pm

Semua pemain berdisiplin - Zainal


SUKAN»Bola
Isnin, 22 April 2019 | 6:16pm
 
ZAINAL Abidin Hassan
Semua pemain berdisiplin - Zainal
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan lega barisan pemainnya sudah kembali mendapat sentuhan penyudah yang diharapkan selepas mencipta kemenangan 1-0 ke atas Kedah di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.

Katanya, displin tinggi yang mereka pamerkan jelas memberi impak besar terhadap keputusan perlawanan Liga Super itu walaupun dicabar hebat pasukan pelawat sepanjang aksi sengit di laman sendiri itu.

MU memastikan tiga mata dalam genggaman menerusi jaringan tunggal penyerang kelahiran Brazil, Anselmo Casagrande pada minit ke-49.

“Apa yang pasti semua pemain berdisiplin, terutama barisan pertahanan yang tidak lagi mudah dibolosi. Malah mereka bijak memintas lawan yang cuba memasuki kawasan gol pasukan.

“Walaupun terdapat sedikit kekurangan akibat memberi terlalu banyak sepakan percuma kepada skuad Helang Merah, namun mereka tidak leka untuk fokus mempertahankan kubu pasukan,” katanya mengulas kejayaan MU itu.

Zainal turut gembira Casagrande kembali mendapat sentuhan penyudah di depan gawang dan berharap ia akan meningkatkan motivasi pemain berkenaan pada aksi seterusnya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kecederaan kapten pasukan kebangsaan, Mohd Zaquan Abd Razak yang dikeluarkan pada awal babak pertama memberi kesan kepada ketajaman jentera serangan.

Katanya, walaupun selepas itu anak buahnya berusaha gigih mencari gol namun kekebalan jentera pertananan tuan rumah menutup ruang menyebabkan usaha yang dilakukan tidak berhasil.

“Apapun saya yakin anak buah akan kembali menyerlah berdepan Kuala Lumpur selepas ini,” katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 22 April 2019 | 6:16pm

Isnin, 22 April 2019

Zainal anggap keputusan seri berbaloi


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
arena@metro.com.my
 
MELAKA: Keputusan seri 1-1 Melaka United (MU) berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi dianggap berbaloi buat jurulatihnya Zainal Abidin Hassan, selepas skuad itu ketinggalan 0-1.

Zainal berkata, melepaskan gol mudah seawal minit kelima jelas bukan halangan mereka bangkit membentuk gerakan dan keserasian jitu sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safiq Rahim.

Katanya, disiplin tinggi anak buahnya berjaya menebus kehampaan terbabit sekali gus meraih satu mata berharga di laman sendiri.

Beliau berkata, pemain juga berjaya menunjukkan peningkatan efektif pada perlawanan ketiga terbabit walaupun turut diasak hebat lawan.

"Apa yang lebih penting pemain beraksi habis-habisan dan berhempas-pulas untuk tidak menghampakan penyokong di halaman sendiri.

"Ketika di dalam bilik persalinan, saya terus memberikan motivasi kepada pemain untuk melupakan gol pendahuluan pelawat, selain memberikan kata semangat buat mereka memburu jaringan. Apa yang membanggakan mereka merealisasikan perencanaan terbabit," katanya.

Baginya, melihat cara permainan pasukan seharusnya skuad Hang Tuah tidak kehilangan sebarang mata dalam aksi terbabit termasuk setiap percubaan berjaya diselamatkan pertahanan Tok Gajah.

Sementara itu, Zainal berkata, keputusan pengadil memberi sepakan penalti kepada pasukan selepas Anselmo Casagrande dijatuhkan pertahanan lawan adalah tepat.


ZAINAL berpuas hati dengan keputusan perlawanan. FOTO/NSTP
Dalam pada itu, pengendali Pahang, Dollah Saleh pula enggan memberi komen sepakan penalti yang dihadiahkan kepada tuan rumah namun dia tetap kecewa jaringan terbabit menyebabkan pasukan itu hanya pulang dengan satu mata.

Katanya, pasukannya itu mampu menjaringkan lebih gol awal menerusi peluang yang terhidang sekali gus melebarkan jurang gol dengan skuad Hijau Putih.

Bagaimanapun, beliau mengakui rezeki tidak memihak kepada anak buahnya selepas setiap percubaan berjaya dihalang penjaga gol MU, Khairul Fahmi Che Mat serta benteng pasukan tuan rumah yang menyaksikan beberapa hantaran bola tersasar.

Pahang yang bermain corak menarik dengan gerakan cantik memiliki beberapa peluang menambah jaringan namun percubaan Mohd Nor Azam Azih (m-49) hanya sekadar menggegar palang gol MU.

Peluang lain dimaksudkan Dollah termasuk menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-31 dan Harold Goulon (m-37) dan Matthew Davies (m-41).

Skuad Hang Tuah turut berpeluang menerobos gawang lawan sebelum sepakan penalti Safiq (m-89) menerusi Liridon Krasniqi (m-14), Patrik Reichelt (m-44) dan Casagrande (m-48) namun kesemuanya gagal membuahkan jaringan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 1:49 PM

Zainal lega Melaka kembali kutip tiga mata


MyMetroArena
 
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

JURULATIH Melaka United (MU), Zainal Abidin lega pemainnya berjaya mengembalikan sentuhan cemerlang pada awal musim selepas menewaskan Kedah 1-0 hasil jaringan Anselmo Casagrande di Stadium Hang Jebat, semalam.

Menurutnya, displin tinggi pemain jelas memberi impak terhadap keputusan perlawanan walaupun dicabar hebat pelawat yang berusaha untuk mencipta kemenangan ke atas skuad Hang Tuah.

“Apa yang pasti semua pemain begitu berdisiplin, terutama barisan pertahanan yang tidak lagi mudah dibolosi. Malah mereka bijak memintas lawan yang cuba memasuki kotak bahaya pasukan.

“Walaupun terdapat sedikit kekurangan akibat memberi terlalu banyak sepakan percuma kepada Helang Merah, namun mereka tidak leka untuk fokus mempertahankan kubu pasukan,” katanya.

Beliau turut memuji pemainnya yang agresif menutup ruang dan dalam masa sama mengambil kesempatan menjaringkan gol.

Zainal mengakui skuadnya beraksi penuh tekanan namun berbekalkan kekuatan mental, MU berjaya menampilkan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk menambah tiga mata berharga.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, kecederaan kapten kebangsaan Mohd Zaquan Abd Razak yang dikeluarkan pada awal babak pertama memberi kesan kepada ketajaman jentera serangan.

Beliau berkata, walaupun anak buahnya berusaha gigih mencari gol namun kekebalan jentera pertananan tuan rumah menutup ruang menyebabkan usaha yang dilakukan tidak berhasil.

Aidil Sharin berkata, aksi tidak konsisten memberi kesan terhadap keputusan yang tidak memihak mereka, namun yakin anak buahnya kembali menyerlah berdepan Kuala Lumpur selepas ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:14 PMSUMBER

Ahad, 21 April 2019

Gol Zainal lemahkan semangat Olimpik

ARKIB : 10/05/1998
 
REBUT... Penyerang Selangor, Rusdi Suparman (depan) diasak oleh pemain Olimpik 2000, Johnny Joseph sewaktu perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 3-3.

MERAH kuning nyaris berubah menjadi merah padam apabila hampir menerima kejutan namun bangkit dalam perlawanan dramatik untuk mengikat Olimpik 2000 dengan keputusan seri 3-3 dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ketinggalan 0-2 pada satu ketika, Selangor bangkit mendadak dalam tempoh lapan minit untuk mencipta tiga gol menerusi Zainal Abidin Hassan (m-64), Shahril Arsat (m-70) dan Azman Adnan (m-72).

Namun penguasaan sepenuhnya Selangor pada babak kedua dan mula mengukir senyum untuk mengamit tiga mata penuh setelah mendahului 3-2, dileburkan oleh jaringan penyamaan pemain gantian Olimpik, Gilbert Cassedy lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Gol pembukaan menjadi milik Olimpik apabila Faziallah Maman menyambar bola lantunan yang mengenai badan K. Gunalan yang membuat larian solo sebelum melepaskan rembatan kencang yang gagal diselamatkan Azlisham Ibrahim.

Selangor terus sengsara hanya 27 saat babak kedua bermula apabila Olimpik memperolehi gol kedua menerusi V. Saravanan.

Tengku Hazman Raja Hassan melorongkan tepat ke arah Saravanan yang berjaya melepasi Aizal Lamin sebelum melepaskan sepakan menewaskan Azlisham.

Zainal menyempurnakan keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti lawan untuk menanduk masuk gol pertama Selangor pada minit ke-64.

Shahril Arsat kemudian berjaya merembat masuk menjadikan kedudukan 2-2 hanya selepas enam minit jaringan Zainal.

Azman Adnan menambah lega Selangor apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Jamsari menjatuhkan Mohd Rizal Hassan pada minit ke-72.

Bagaimanapun, Olimpik menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma yang cantik oleh pemain gantian Gilbert dari luar kotak penalti.

Sementara itu, Negeri Sembilan nyaris menerima aib besar apabila berjaya berkongsi satu mata dengan Brunei selepas seri 1-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Halim Jantan, Zami Mod. Nor dan Scott Ollerenshaw merupakan tiga penyerang yang mempersia-siakan peluang terbuka untuk mendahului lawan pada minit kelima, 23, dan 39 dan 45.

Namun begitu, Brunei lebih ligat mencari peluang untuk mendahului Negeri Sembilan pada minit ke-56.

Gol itu dijaringkan oleh penyerang import Patron Akapo hasil gerakan satu dua dengan Mohd. Said Abdullah yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Mohd. Hamsani Mohamad.

Bagaimanapun, jaringan Brunei itu tidak melemahkan semangat pasukan tuan rumah sebaliknya bertindak balas menyamakan kedudukan pada minit ke-61.

Gol itu berpunca daripada hantaran Guss Cerro yang membuat hantaran lintang ke dalam kawasan gol Brunei dengan mudah bagi pemain pertahanan Pedro Paolo Oliviera membuat tandukan kencang yang gagal diselamatkan oleh Ibrahim Abu Bakar.

Walaupun selepas gol itu, Negeri Sembilan mempertingkatkan lagi serangan bahaya namun semua percubaan itu tidak menepati sasaran.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0510&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JNTwnzD4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 17 April 2019

Zainal Abidin kapten ampuh


ARKIB : 17/11/2012
Oleh FERZALFIE FAUZI

ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
ZAINAL Abidin kini seronok dengan karier barunya sebagai pemilik kedai makan Lagenda 17 yang bertempat di Seksyen 13 Shah Alam.

SEBUT sahaja Zainal Abidin Hassan pasti peminat bola sepak tanah air tidak akan melupakan perwatakannya sebagai pertahanan mantap dan sinonim dengan nombor jersi 17 yang digunakannya baik bersama pasukan kebangsaan, Selangor mahupun Pahang.

No. 17 memberi makna istimewa buat insan ini, kerana dia membuat penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan pada usia 17 tahun dalam Pestabola Merdeka 1980.

Namun, daya kepimpinan Zainal Abidin ketika membawa Malaysia mara ke final Piala Tiger 1996 detik paling dikenang peminat bola sepak tanah air.

Elok rasanya kita mengimbau mengenai kekentalan kapten ampuh ini, tatkala Piala Tiger, kini dikenali sebagai Piala Suzuki AFF akan bermula Ahad depan.

Zainal Abidin yang ketika itu mewakili pasukan Pahang dalam saingan Liga Malaysia kembali menjulang nama Harimau Malaya selepas aksi kurang memberangsangkan di Sukan SEA 1993 Singapura dan 1995 Chiang Mai.

Pengalaman selaku pemain senior digunakan sebaiknya oleh Zainal Abidin yang mula mencipta nama sejak era 80-an dan awal 90-an bersama pasukan negeri kelahirannya.

Sebagai seorang pemain senior dalam skuad 1996, dia dihormati kerana pernah beraksi dengan legenda bola sepak tanah air seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R. Arumugam dan Soh Chin Aun.

Selain Zainal Abidin antara pemain senior lain yang berada dalam skuad tersebut ialah Khairul Azman Mohamad (penjaga gol) dan Dollah Salleh, manakala tugas jurulatih dipikul Wan Jamak Wan Hassan.

Tahap kemahiran dan pengalaman yang dimilikiZainal Abidin membolehkan skuad kebangsaan muncul naib juara peringkat kumpulan di belakang Thailand. Edisi pertama Piala Tiger itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.

Perlawanan pertama menyaksikan Malaysia menentang Singapura, yang berkesudahan kita mengikat tuan rumah 1-1 di hadapan 7,000 penyokong di Stadium Nasional, Kallang.

Aksi kedua memperlihatkan ketajaman jentera serangan Malaysia yang membelasah Filipina 7-0, namun paling mencuri tumpuan ialah perlawanan ketiga di antara Malaysia dan Thailand yang pada awalnya lagi dijangka sengit.

Selaku ketua pasukan Zainal Abidin menunjukkan kredibiliti dengan berjaya menghalang Thailand daripada mencatat kemenangan, malah dia berjaya menafikan jaringan pendahuluan Kiatisuk Senamuang pada minit ke-28 dengan menjaringkan gol penyamaan di minit ke-59.

"Zainal adalah tonggak yang amat penting, dia pemain paling senior dan beraksi di posisi pertahanan tengah. Saya rasa jika tidak ada dia ketika itu memang kita sukar untuk menyekat asakan menggila lawan terutamanya Thailand," kata Khairul Azman, mengimbau detik 16 tahun lalu.

Malaysia seterusnya menempah tempat ke separuh akhir kejohanan apabila melengkapkan jadual peringkat kumpulan dengan mencatat kemenangan kedua membelasah Brunei 6-0.

"Dia sentiasa bagi semangat kepada pemain lain terutama pemain muda dan mereka sangat menghormatinya serta mendengar segala arahan yang diberikan, akhirnya kami mampu mara ke peringkat separuh akhir dan akhir kejohanan tersebut," jelas bekas penjaga gol Pahang dan Sabah itu.

Bertemu musuh tradisi, Indonesia dalam saingan separuh akhir adalah cabaran berat buat Malaysia namun berkat kerjasama yang dipamerkan oleh pemain muda bersama pemain senior mereka mencatat kemenangan 3-1.

"Ada beberapa tonggak utama dalam skuad kebangsaan ketika itu, salah seorang daripadanya adalah Zainal Abidin. Persefahaman antara pemain tonggak dan pemain lain ketika itu sangat bagus sekali.

"Kami sudah bersama sepanjang lima tahun, jadi semua orang tahu peranan masing-masing. Pemain tengah tahu jenis hantaran mana yang penyerang mahukan, begitu juga di posisi lain," kata Anuar Abu Bakar yang beraksi di posisi serangan pada ketika itu.

Bagaimanapun bertemu Thailand di peringkat akhir nasib skuad Harimau Malaya kurang baik apabila tewas tipis 1-0 juga melalui jaringan Kiatisuk seawal minit kesembilan. namun mara ke peringkat tersebut boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.

Zainal Abidin akan terus diingati sebagai seorang ketua pasukan dan tonggak yang berjaya membawa Malaysia ke peringkat akhir.

Lebih menarik kehandalan dan prestasi luar biasa yang dipamerkan Zainal Abidin, membolehkannya menerima anugerah sebagai pemain paling bernilai dalam kejohanan tersebut. Tiga tahun selepas itu namanya berada dalam senarai Kelab Seabad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain pasukan bola sepak kebangsaan, Zainal Abidin juga pernah menabur bakti bersama pasukan futsal negara dan mengambil bahagian di Kejohanan Futsal Dunia FIFA 1996 Sepanyol.

Dia bersara dalam sukan bola sepak pada 1999 dan dipilih untuk menjadi jurulatih skuad remaja pada 2001.Setahun selepas itu dia menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan dan membantu jurulatih kelahiran England, Allan Harris .

Dia kemudiannya melatih pasukan Pahang dan berjaya menjulang trofi Liga Super pertama.Pada 2006 dia menjulang Pahang untuk memenangi Piala FA dan selepas kontraknya tamat dia bergabung dengan rakan baiknya, Dollah untuk mengemudi Shahzan Muda FC sebelum kedua-dua mereka kembali ke Pahang dan tugasnya sebagai pengurus pasukan sehingga sekarang.

Perkara lain yang menarik tentang Zainal Abidin ialah anak lelakinya Zaiza Zainal Abidin turut bermain bola sepak di posisi pertahanan dan sekarang mewakili Pahang.

Kini, dia turut mencuba nasib dengan membuka restoran yang diberi nama Legenda 17 di Shah Alam. Sememangnya Zainal Abidin dan No. 17 terlalu sinonim hingga tidak boleh dipisahkan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana_Sukan/20121117/rs_01/Zainal-Abidin-kapten-ampuh#ixzz3KdLUohxm© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 11 April 2019

Zainal mahu anak buah benam Tampines Rovers


Selasa, 8 March 2016 | 11:59am
 
Zainal mahu anak buah benam Tampines Rovers
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my

KETUA Jurulatih pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan (kanan) dan Kapten pasukan Selangor, Muhammad Shahrom Abd Kalam pada sidang media Piala AFC 2016 di KIP Hotel. - Foto Osman Adnan NSTP
KUALA LUMPUR: Pertemuan dengan kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini bakal menjadi medan terbaik buat Selangor menebus kekecewaan selepas tersingkir dari saingan Piala FA.

Kemenangan ke atas Tampines Rovers wajib diraih skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan bagi membuka peluang lebih luas dalam usaha mereka untuk melepasi peringkat Kumpulan E saingan Piala AFC musim ini.

Justeru, Zainal mengingatkan barisan pemainnya melupakan segera kekecewaan di Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jumaat lalu.

Sambil mengakui kelebihan di gelanggang sendiri harus di manfaatkan, Zainal turut menjelaskan betapa pasukannya sangat memerlukan tiga mata selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama berdepan Ceres FC dari Filipina, pada 23 Februari lalu.

"Kami sangat serius dengan perlawanan ini terutama selepas sekadar seri dengan Ceres. Kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Pemain yang cedera sebelum ini termasuk Andik (Vermansyah) juga sudah sedia untuk diturunkan. Hanya Robert Cornthwaite saja tidak bersama pasukan.

"Paling penting, kami perlu lupakan kekalahan di Piala FA. Situasi kami sekarang adalah terpaksa berdepan dengan jadual padat, tetapi ia tidak menjejaskan misi di Piala AFC," katanya.

Mengulas lanjut berkenaan pasukan lawan, Zainal mengakui sudah meneliti beberapa kekuatan dan kelemahan yang dimiliki Tampines Rovers.

"Memang kita sangat mengenali Tampines Rovers dan skuad itu dibarisi beberapa pemain Lions XII. Apapun kami tidak boleh pandang mudah perlawanan ini," katanya.

Kapten Selangor, Shahrom Kalam pula berkata kekalahan kepada PDRM memberi pengajaran berguna kepada skuad The Red Giants dan berjanji akan memperbaiki segala kelemahan.

"Moral semua pemain masih pada tahap terbaik. Malah kekalahan kepada PDRM di awal musim membolehkan kami belajar sesuatu dan kami masih mempunyai masa untuk perbaiki kelemahan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 8 March 2016 | 11:59am

Selangor kembali 'bernyawa' selepas benam kelab Bangladesh


 
JURULATIH pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Kemenangan pertama yang dicatat Selangor pada Piala AFC menentang Sheikh Jamal Dhamondi sedikit sebanyak mendatangkan kelegaan kepada pengendalinya, Zainal Abidin Hassan.

Selepas kemerosotan prestasi pada tiga aksi terakhir yang menyaksikan mereka tewas tiga kali berturut-turut, kemenangan diraih ke atas kelab Bangladesh itu pastinya mampu meniup kembali semangat The Red Giants untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

Pengendali berusia 55 tahun itu turut gembira selepas meraih tiga mata pertama dalam saingan Piala AFC, sekali gus membuka kembali peluang untuk Selangor kembali 'bernyawa' dalam usaha mara ke peringkat seterusnya.

"Saya gembira kerana akhirnya memperoleh tiga mata penting yang membolehkan kami terus bersaing dalam kumpulan ini dan memberi motivasi tambahan untuk kami pergi lebih jauh pada saingan kali ini," katanya selepas perlawanan yang disiarkan menerusi laman web AFC - www.the-afc.com hari ini.

Namun, Zainal berkata pemain beraksi dalam keadaan yang begitu tertekan sehingga mereka gagal memperaga aksi seperti biasa menyebabkan melakukan banyak kesilapan sehingga dihukum Sheikh Jamal yang menyaksikan mereka dibolosi tiga gol.

"Tetapi aspek positif yang boleh diambil daripada perlawanan tadi (semalam) ialah pemain berjaya bangkit semula dua kali walaupun ketinggalan.

"Mereka bekerja dengan begitu keras dan inilah ganjaran yang mereka peroleh apabila menang dan mampu kembali dalam saingan ini," katanya.

Pada aksi di Stadium Nasional Bangabandhu itu, tuan rumah mendahului menerusi jaringan Landing Darboe sebelum Patrick Ronaldinho Wleh mengikat kedudukan dan jaringan R Gopinathan membolehkan Selangor mendahului 2-1 pada minit ke-53.

Namun dua gol pantas daripada Emeka Onuoha dan Wedson Anselme membolehkan tuan rumah kembali mendahului 3-2 sebelum dua gol jaringan Mauro Olivi membolehkan Selangor pulang dengan tiga mata berharga.

Kemenangan itu tidak mengubah kedudukan Selangor yang kekal di tangga ketiga Kumpulan E dengan empat mata, namun hanya dibezakan satu mata dengan Ceres La Salle di tangga kedua.

Kelab Sheikh Jamal pula kekal di tempat tercorot Kumpulan E tanpa sebarang mata.
SUMBER-BERIITA HARIAN Rabu, 16 March 2016 | 12:16pm

Ahad, 7 April 2019

Perit Melaka tiada Suk-won, Mat Don [VIDEO]


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

KETIADAAN dua tunjang import Melaka United (MU), Jang Suk-won dan Liridon Krasniqi amat dirasai ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan ketika mengulas kekalahan 3-4 kepada Selangor di Stadium Hang Jebat, semalam.

Menurutnya, situasi terbabit memperlihatkan kubu pasukan bocor empat kali selain gerakan permainan juga sedikit terjejas tanpa dua khidmat pemain terbabit.

Katanya, ketiadaan Suk-won yang digantung perlawanan dan Mat Don yang masih cedera menjejaskan pergerakan pasukan walaupun tidak dinafikan terdapat peningkatan dalam kalangan pemain tempatan.

Namun, dia yakin penyertaan semula dua pemain itu pada aksi berdepan PKNP selepas ini bakal kembali meletakkan wajah sebenar skuad Hang Tuah.

Sementara itu, bekas penyerang Selangor, Pahang dan skuad kebangsaan itu mengakui kecewa selepas anak buahnya berjaya mendahului The Red Giants 3-2 (m-71), namun harapan tiga mata musnah menerusi tandukan Sean Eugene Selvaraj (m-88 dan m-90) untuk tuan rumah berputih mata.

"Apapun saya tetap memuji komitmen semua pemain berikutan selepas ketinggalan akhirnya bangkit menyamakan kedudukan dan mendahului pelawat buat seketika.

"Namun fokus tersasar meletakkan lawan bijak mencuri peluang untuk mengutip mata maksimum walaupun kemenangan hampir menjadi milik pasukan," katanya.

Justeru, baginya banyak yang perlu diperbaiki terutama fokus jitu pada minit-minit akhir dan mental yang kuat untuk tidak hampa di penghujung saingan.

Malah, dia jelas tidak menyembunyikan kekecewaan tewas pertama kali di laman sendiri ketika kemenangan atau sekurang-kurang satu mata bakal diperolehi.

Gol-gol MU pada aksi terbabit dicetak menerusi Patrick Reichelt m-20, m-65 dan Darko Markovic m-71 perlawanan.
 

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 7:33 PM