Rabu, 4 Januari 2017 | 9:45pm
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
ZAINAL menunjukkan keratan
hebahan media penamatan kontraknya sebagai jurulatih pada sidang media
berhubung isu tuntutan gaji baki kontrak di kediamannya di Shah Alam. - Foto
Luqman Hakim Zubir
SHAH ALAM: Selepas hampir lima
bulan dipecat dan berdiam diri, bekas pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan
tampil menuntut haknya serta menggesa pampasan selama 13 bulan sehingga
November 2017 dilunaskan segera oleh pengurusan 2016.
Tuntutan itu dibuat berdasarkan
apa yang termaktub dalam kontraknya ketika menjadi jurulatih kerana sehingga
kini, Zainal masih tidak mengetahui status sebenarnya bersama pasukan dan
digantung tidak bertali.
Bekas jurulatih Pahang itu
mendakwa, meskipun dipecat pada Ogos 2016, beliau masih belum menerima sebarang
surat pemecatan rasmi Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sehingga kini.
Situasi ini menyebabkan Zainal
tidak boleh berbuat apa-apa dan masalah itu juga boleh membunuh kariernya
selaku jurulatih bola sepak profesional jika ia tidak diselesaikan secepat
mungkin.
"Pengurusan lama sudah
berjanji untuk menyelesaikan baki kontrak saya seperti yang dipersetujui, namun
sehingga kini tiada kata putus mengenai perkara itu. Saya berpegang pada janji
mereka dan kontrak yang saya tandatangani.
"Saya bukan mahu
mempertahankan jawatan. Saya juga tidak mahu salahkan mana-mana pihak tetapi
saya berurusan dengan pihak pengurusan yang lama kerana mereka yang
bertanggungjawab melantik saya sebagai jurulatih pada 2016.
"Isu ini terlalu kecil
berbanding kemelut FAS ketika ini, jadi saya mengharapkan masalah ini
diselesaikan segera supaya saya boleh meneruskan kerjaya dalam bidang
kejurulatihan," katanya pada sidang media di kediamannya di sini, hari
ini.
Bekas pemain The Red Giants era
90-an itu dipecat selepas deretan kekalahan menimpa skuad kendaliannya sehingga
kehilangan status selaku pendahulu Liga Super, selain tersingkir awal dalam
saingan Piala FA dan sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan Piala
AFC.
Mengulas pemecatannya yang
hanya dibuat berdasarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dan kenyataan media,
Zainal menyifatkan tindakan terbabit sebagai tidak profesional dan ibarat
'lepas tangan'.
"Saya hanya dimaklumkan
menerusi SMS yang ditunjukkan penolong pengurus (Hisham Ghouth) dan saya cuba
memohon untuk berjumpa pengurusan bagi menjelaskan situasi sebenar punca
kemerosotan pasukan.
"Pengurusan berhak memecat
saya, namun mereka juga seharusnya mendengar rayuan dan penjelasan saya.
Sebaliknya mereka tetap dengan pendirian untuk memecat, jadi saya perlu
menerima keputusan dengan profesional.
"Saya berhubung dengan
pemangku Setiausaha ketika itu (Raja Restam Azhar) untuk mendapatkan surat
pemecatan tetapi dia menyatakan tidak menerima arahan untuk mengeluarkan surat
pemecatan kerana dia hanyalah pemangku setiausaha saja.
"Saya perlukan surat
pemecatan secara rasmi untuk memutuskan segala ikatan dengan FAS dan
membolehkan saya mengambil langkah seterusnya dalam karier saya," katanya
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Rabu,
4 Januari 2017 | 9:45pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan