Nazri Abu
Bakar
sukanteam@nstp.com
MELAKA:
Pengendali baharu Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan sudah mengenal pasti
22 pemain untuk disenaraikan bagi menyertai skuad berkenaan termasuk
mengekalkan lapan pemain pada musim ini.
Menurutnya,
senarai pemain terbabit akan dimuktamadkan lewat minggu ini termasuk bersama
lapan pemain berkenaan yang sudah dibincang bersama pihak pengurusan.
Katanya, baki
pemain termasuk bintang tempatan daripada beberapa pasukan Liga Super turut
berada dalam senarai terbabit.
"Kami
juga mengenal pasti seorang dua pemain dari skuad Piala Presiden MU untuk
disenaraikan selain bintang import untuk melengkapkan 22 pemain.
"Keseluruhan
dijangka 25 pemain akan berada dalam senarai terakhir terbabit. Apapun tiga
pemain itu akan diputus pada sesi latihan awal Disember depan," katanya.
Sehubungan
itu, dia mengharapkan lapan pemain teras musim ini yang dikekalkan untuk 2019
mampu menjadi antara tunjang utama buat pasukan.
Bagaimanapun,
dia akan menilai terlebih dulu semua aspek termasuk kesesuaian, keserasian dan
posisi bagi pembentukan kesebelasan pertama ke arah sebuah pasukan berwibawa.
Namun dia
masih yakin mereka yang menyumbang kudrat untuk pasukan itu bersama MU sebelum
ini mampu menjadi antara pilihan terbaik membentuk persembahan efektif skuad
Hang Tuah di pentas Liga Malaysia musim depan.
Sebelum ini,
Zainal Abidin menjelaskan beberapa nama besar bakal menyertai skuad berkenaan
sebaik menandatangani kontrak semusim bersama MU, baru- baru ini.
Menurutnya,
selain nama berkenaan ada juga beberapa nama baharu tampil menyatakan minat
menyertai skuad terbabit.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 1:26 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan