KUANTAN - Barisan pemain Tok Gajah diingatkan
supaya tidak lagi dibuai mimpi yang indah setelah juara Liga Super tahun lalu
itu kecundang berturut-turut dalam dua perlawanan Liga Super 2005.
Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata,
anak-anak buahnya itu perlu bangkit semula setelah mempamerkan persembahan yang
buruk menentang Perlis kelmarin yang menyaksikan Pahang tumpas 1-0 di
gelanggang sendiri.
Menurutnya, tugas berat menanti beliau untuk mengembalikan
keyakinan anak-anak buahnya yang seperti hilang punca dan tidak mempamerkan
mutu permainan bola sepak yang sebenar.
``Banyak yang perlu dilakukan, masalah ini cukup
serius. Saya perlu duduk bersama pemain untuk bertanya secara individu apa masalah
mereka sebenarnya sehingga gagal bermain seperti biasa,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita
selepas perlawanan antara Pahang menentang Perlis tamat di Stadium Darul
Makmur, Kuantan, kelmarin.
Zainal memberitahu, kegagalan para pemain Pahang
memanfaatkan peluang yang terbuka di hadapan pintu gol amat mengecewakannya.
Jelas beliau, corak permainan yang mudah diramal
di samping cubaan-cubaan liar yang ternyata tidak menemui sasaran telah
menyebabkan pasukan lawan mudah mengambil kesempatan di atas kepincangan yang
berlaku.
Kekalahan berturut-turut kepada Pulau Pinang dan
Perlis cukup memalukan apatah lagi Tok Gajah yang memegang status sebagai juara
Liga Super tahun lalu.
``Jangan fikir anda juara dan merupakan pemain
kebangsaan, pasukan lain tidak mampu untuk menewaskan anda,'' tegasnya.
Zainal berkata, anak buahnya kini perlu bermula
daripada kosong bagi membentuk semula sebuah pasukan yang mantap untuk
meneruskan kempen Liga Super.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP) Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata,
permainan barisan pemain Tok Gajah cukup mengecewakan.
``Mereka gagal untuk menyerlah dan corak
permainan yang mudah dibaca lawan telah menjadi punca kekalahan Pahang,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau meminta supaya para pemain
Pahang tidak dihukum terlalu awal memandangkan masih banyak lagi perlawanan
yang bakal dihadapi oleh Tok Gajah.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4gbHQKTv7
© Utusan Melayu (M) Bhd