Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
sukan@kosmo.com.my
PAHANG sekali lagi gagal
mengutip tiga mata penuh walaupun sebelum ini pernah menjanjikan kemenangan
apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Keputusan seri 1-1 yang
terpaksa dikongsi bersama Sarawak pada perlawanan terakhir pusingan pertama
Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin masih belum cukup buat
Pahang membuktikan keupayaan sebenar selain dilihat terus dibelenggu masalah
kecuaian.
Menurut jurulatihnya, Zainal
Abidin Hassan kegagalan mengutip mata pada perlawanan tersebut dilihat banyak
berpunca daripada kecuaian pemain terutama di barisan serangan.
"Kita sudah buat
segala-galanya, namun saya kecewa kerana masih ada pemain yang masih lena.
"Keadaan ini tidak
sepatutnya berlaku kerana seolah-olah kita sengaja membuka peluang kepada
Sarawak untuk menjaringkan gol.
"Saya juga dapati penjaga
gol, Syamsuri Mustapa juga hilang fokus pada perlawanan itu," katanya.
Zainal yang jelas kecewa dengan
keputusan perlawanan itu tidak menyembunyikan perasaan tidak puas hatinya
terhadap prestasi pemainnya setakat ini walaupun peluang untuk memulihkan
kedudukan dalam liga masih terbuka.
"Sebagaimana yang
diketahui, Sarawak kini semakin menonjol walaupun sebelum ini pernah menduduki
tangga ketiga tercorot dalam Liga, seharusnya kita merasa malu kerana Pahang
merupakan satu pasukan yang gah tetapi gagal mengutip mata penuh," katanya.
Dalam pada itu, Zainal masih
menaruh harapan agar jentera serangan Tok Gajah bangkit serta tampil dengan
semangat baru bagi meneruskan saingan dalam liga yang akan memasuki pusingan
kedua pada 12 Februari ini.
"Saya percaya kita masih
ada masa untuk memulihkan semangat pasukan dan apa yang berlaku pada pusingan
pertama ini perlu dijadikan pengajaran," katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_13.htm#ixzz4wnyumId9
Hakcipta terpelihara