Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY
sukan@kosmo.com.my
KECEDERAAN yang menimpa Keita
(kanan) sedikit menjejaskan percaturan Zainal untuk membentuk skuad terbaik.
JURULATIH Pahang, Zainal Abidin
Hassan kini giat mencari strategi baru menjelang saingan Liga Super selepas
ini.
Advertisement
Semuanya gara-gara kecederaan
yang dialami dua pemain utamanya ketika skuad Tok Gajah itu tewas 0-1 kepada
Perak kelmarin.
Menurut Zainal, kecederaan serius
yang dialami Shahril Faizal Ahmad Sharifudin dan Keita Boubacar pada aksi liga
di Stadium Darul Makmur kelmarin memaksa dia mencari jalan untuk melakukan
perubahan dalam kesebelasan utama.
"Berdasarkan kecederaan
yang dialami dua pemain terbabit, saya percaya satu perubahan besar di semua
posisi akan dibuat sebagai strategi baru menjelang perlawanan seterusnya,"
jelas Zainal kepada KOSMO! semalam.
"Keadaan ini lebih
membimbangkan kerana seorang lagi pemain import Pahang, Redouane Barkaoui yang
turut mengalami kecederaan dalam perlawanan terdahulu masih belum pulih. Bagi
saya, ini satu ujian buat pasukan Tok Gajah."
Mengulas mengenai kekalahan
yang dialami anak buahnya kelmarin, Zainal mengakui pasukannya banyak hilang
tumpuan walaupun peluang menggegarkan gawang lawan sudah tersedia di depan
mata.
"Pada babak pertama
sahaja, kami sudah banyak kehilangan peluang untuk menjaringkan gol. Jika semua
pemain mampu memberi tumpuan penuh, tidak mustahil kemenangan berpihak kepada
kami," ujarnya.
Begitupun, Zainal tetap yakin
anak didiknya mampu bangkit semula walaupun terdapat sedikit kepincangan dalam
pasukan setelah tiga pemain utamanya terpaksa direhatkan gara-gara kecederaan
serius.
"Secara positifnya, saya
yakin kami mampu bangkit semula, cuma sedikit anjakan perubahan perlu dilakukan
dalam pasukan berikutan ketiadaan tiga pemain terbabit," tambahnya.
Pahang akan berkunjung ke
Stadium majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBBP) menentang UPB-My Team Sabtu ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4wnadEFkl
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan