Isnin, 8 Ogos 2016 | 7:06pm
JURULATIH Selangor, Zainal
Abidin Hassan. - FotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih
Selangor, Zainal Abidin Hassan mengakui terkejut menerima berita pemecatannya
kerana ia dibuat tanpa sebarang amaran awal.
Namun dia tetap akur dengan
keputusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu, yang diumumkan presidennya
sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Ahad lepas.
"Itu hak mereka jika tidak
mahu gunakan khidmat saya... tanpa beri isyarat, memang terkejut tapi saya
tidak boleh bantah," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Menurut FAS, pemecatan Zainal
Abidin, 54, itu adalah disebabkan kemerosotan prestasi skuad Gergasi Merah
selepas tewas buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Malaysia
musim ini.
Menjelaskan mengenai prestasi
pasukannya itu, Zainal Abidin berkata pada awal musim skuad utama berada dalam
kondisi terbaik namun tersepit selepas beberapa tonggak pasukan mengalami
kecederaan.
Ketiadaan Andik Vermansah dan
Ahmad Hazwan Bakri dilihat memberi kesan di bahagian serangan dan harapan hanya
diletakkan kepada pemain import Patrick Ronaldinho untuk mengemudi jentera
serangan.
Di barisan pertahanan pula,
kekerapan pemain pertahanan melakukan kesilapan mudah memberi peluang kepada
lawan untuk menjaringkan gol, sekali gus menghukum Selangor.
"Saya bukan beri alasan
tetapi kenyataannya ialah ramai pemain yang cedera. Keputusan memang tidak
menyebelahi Selangor namun kami masih lagi di tempat yang baik.
"Pasukan saya memang ada
kelemahan, terumbang-ambing. Bila ada berlaku kecederaan, ada perubahan
posisi... persefahaman tidak dapat dibentuk dengan cepat," kata bekas
pertahanan Selangor awal 1980-an itu.
Zainal Abidin menjadi penyerang
yang digeruni di pentas domestik dan antarabangsa apabila jurulatih Pahang,
Fred Binney mengubah posisinya apabila menyertai pasukan itu pada 1983.
Ditanya sama ada FAS ada
memberikan bayangan mengenai kedudukannya, Zainal Abidin berkata sebelum ini
persatuan itu hanya mengadakan perbincangan dengannya bagi meneliti kedudukan
pasukan.
Katanya dalam perbincangan itu
beliau diarah meningkatkan prestasi pasukan, namun Zainal Abidin berpendapat
beliau dan pasukannya perlu diberi masa untuk kembali ke prestasi sebenar.
Zainal Abidin dijangka bertemu
bekas majikannya itu dalam masa terdekat dan menegaskan beliau akan berehat
terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang tawaran.
Tempat Zainal Abidin akan
digantikan pembantunya K. Gunalan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan
Piala Malaysia sehingga calon sesuai dikenal pasti.
Sebagai rekod musim ini,
Selangor tersingkir di peringkat kumpulan Piala AFC, tewas pada pusingan kedua
Piala FA dan hanya menang tujuh daripada 17 perlawanan Liga Super untuk berada
di kedudukan ketiga setakat ini dengan 26 mata, 17 mata di belakang pendahulu,
Johor Darul Ta'zim. – BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
8 Ogos 2016 | 7:06pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan