Ahad, 22 March 2015 | 3:23pm
Gambar fail, jurulatih Pahang
FA, Zainal Abidin Hassan pada sidang media Piala AFC, lalu. - Foto Farizul
Hafiz Awang
Kongsi artikel
KUANTAN: Pengendali Pahang,
Zainal Abidin Hassan kecewa dengan sikap sambil lewa yang ditunjukkan pemain
sehingga hanya mampu menang tipis ketika menentang MISC-MIFA, malam tadi.
"Selepas mendahului 2-0
mereka (pemain Pahang) terus leka ... pemain perlu lebih bersedia dan fokus
sepanjang perlawanan dan bukannya membenarkan lawan mengasak hingga hampir
mengheret ke perlawanan masa tambahan," katanya kepada pemberita di sini,
malam tadi.
Dalam perlawanan malam tadi,
Pahang hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Darul Makmur.
Beliau berharap pemain tidak
mengulangi kesilapan sama apabila bertemu Pulau Pinang pada 7 April depan
ketika pusingan suku akhir.
Zainal berkata, ini bagi
memastikan misi pasukan itu untuk mempertahankan Piala FA tidak terkubur di
tengah jalan.
Sementara itu, Pengendali
MISC-MIFA Jacob Joseph berkata, prestasi ditunjukkan pemainnya tidak jauh
berbeza dengan pemain Pahang.
Katanya, faktor pemain import
memberi kelebihan kepada Pahang untuk melakar kemenangan bagi melayakkan diri
ke pusingan suku akhir Piala FA.
"Saya sebenarnya berpuas
hati apabila kami berjaya mengikat Pahang 0-0 pada separuh masa pertama tetapi
kelalaian pemain pada awal babak kedua bersambung membolehkan Pahang
menjaringkan gol," katanya.
Namun beliau tetap memuji
semangat pemainnya yang berusaha dan berjaya menghasilkan jaringan pada minit
akhir perlawanan.
Katanya beliau akan memberi
tumpuan pada saingan Liga FAM untuk memastikan skuad bimbingannya muncul juara
Kumpulan B, walaupun pihak pengurusan hanya menyasarkan tempat ketiga terbaik.
- BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE