Isnin, 25 September 2017

Piala FA: Zainal kecewa sikap skuad Tok Gajah



Ahad, 22 March 2015 | 3:23pm


 

Gambar fail, jurulatih Pahang FA, Zainal Abidin Hassan pada sidang media Piala AFC, lalu. - Foto Farizul Hafiz Awang
Kongsi artikel

KUANTAN: Pengendali Pahang, Zainal Abidin Hassan kecewa dengan sikap sambil lewa yang ditunjukkan pemain sehingga hanya mampu menang tipis ketika menentang MISC-MIFA, malam tadi.

"Selepas mendahului 2-0 mereka (pemain Pahang) terus leka ... pemain perlu lebih bersedia dan fokus sepanjang perlawanan dan bukannya membenarkan lawan mengasak hingga hampir mengheret ke perlawanan masa tambahan," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Dalam perlawanan malam tadi, Pahang hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas MISC-MIFA di Stadium Darul Makmur.

Beliau berharap pemain tidak mengulangi kesilapan sama apabila bertemu Pulau Pinang pada 7 April depan ketika pusingan suku akhir.

Zainal berkata, ini bagi memastikan misi pasukan itu untuk mempertahankan Piala FA tidak terkubur di tengah jalan.

Sementara itu, Pengendali MISC-MIFA Jacob Joseph berkata, prestasi ditunjukkan pemainnya tidak jauh berbeza dengan pemain Pahang.

Katanya, faktor pemain import memberi kelebihan kepada Pahang untuk melakar kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA.

"Saya sebenarnya berpuas hati apabila kami berjaya mengikat Pahang 0-0 pada separuh masa pertama tetapi kelalaian pemain pada awal babak kedua bersambung membolehkan Pahang menjaringkan gol," katanya.

Namun beliau tetap memuji semangat pemainnya yang berusaha dan berjaya menghasilkan jaringan pada minit akhir perlawanan.

Katanya beliau akan memberi tumpuan pada saingan Liga FAM untuk memastikan skuad bimbingannya muncul juara Kumpulan B, walaupun pihak pengurusan hanya menyasarkan tempat ketiga terbaik. - BERNAMA
BERITA HARIAN ONLINE  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan