Ahad, 11 Disember 2016

Selangor sekat hajat P. Pinang

ARKIB : 10/11/1999
SELANGOR yang sudah terkeluar daripada saingan ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia, menyekat hajat Pulau Pinang untuk terus bersaing dalam kumpulan A apabila membenam pasukan pelawat 3-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Dua gol menerusi pemain tengah, S. Sivaram pada minit ke-45 dan 50 serta jaringan ketua pasukan, Zainal Abidin Hassan minit ke-65, menutup terus peluang Harimau Kumbang, sekali gus berjaya menebus dendam kekalahan 5-0 Selangor di Stadium Bandaraya, sebelum ini.

Begitu pun, Selangor terpaksa menunggu sehingga minit terakhir babak pertama untuk membuka jaringan, selepas permainan kedua-dua pasukan agak hambar.

Pulau Pinang yang turun tanpa penyerang sensasinya, Azman Adnan, terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh setengah jam terakhir apabila ketua pasukannya, Moey Kok Hong dibuang padang.

Zainal yang banyak membantu bahagian tengah, mengatur beberapa siri gerakan Merah Kuning, tetapi hanya hantarannya pada minit ke-45 membuahkan hasil.

Umpanan leret yang mencelah pertahanan lawan menuju ke Sivaram yang berdepan dengan Azlisham Ibrahim dan penjaga gol Harimau Kumbang dapat menampan percubaan pertama pemain tengah Selangor itu.

Namun, bola kembali melantun kepada Sivaram yang kali ini tidak membuat kesilapan merembat kencang menewaskan Azlisham.

Belumpun Pulau Pinang panas badan pada babak kedua, Sivaram sekali lagi menghukum kelalaian benteng lawan apabila serangan kilat S. Paidiya Rau menambah derita pasukan dari Utara itu.

Paidiya melarikan bola secara solo dan meleretkan ke depan kepada Sivaram yang tidak dikawal, memudahkan pemain itu menolak masuk.

Kok Hong yang sebelum itu dilayangkan kad kuning kerana menyiku Rusdi Suparman, diperintah keluar padang pada minit ke-60 apabila sekali lagi melakukan kekasaran ke atas penyerang kebangsaan itu setengah jam sebelum tamat perlawanan.

Keadaan itu tambah menyukarkan Pulau Pinang melakukan kebangkitan dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Selangor yang sejurus selepas itu, menambah gol ketiga menerusi jaringan lambung Zainal.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Saj6nZbu © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan