ARKIB : 26/10/1999
SELANGOR kembali membuka
saingan dalam pusingan kedua bola sepak Piala Malaysia apabila membenam Perlis
3-1 di Stadium Shah Alam semalam, sekali gus menafikan hajat Singa Utara untuk
kembali menerajui kumpulan A.
Dua gol dalam tempoh 11 minit
permainan babak pertama menerusi pemain pertahanan, Lim Chan Yew minit keenam
dan penyerang S. Paidiya Rau (11), menceritakan kesungguhan Merah Kuning untuk
memperbaiki kedudukan dalam kumpulan.
Ketua pasukan, Zainal Abidin
Hassan yang diletakkan jurulatih K. Rajagopal di barisan tengah kali ini, turut
mencatat nama sebagai penjaring dengan sumbangan gol ketiga minit ke-40.
Perlis hanya bangkit mengasak
pada babak kedua dan memperoleh gol menerusi sepakan bebas Manzoor Azwira Abdul
Wahid minit ke-52.
Namun, Singa Utara harus kecewa
apabila serangan yang dilancarkan berkali-kali sepanjang babak kedua gagal
menambah jaringan.
Jaringan Chan Yew hasil serangan
pertama Selangor menerusi sepakan sudut Jaafar Salleh yang ditanduk masuk bekas
pemain Olimpik 2000 itu untuk gol pembukaan.
Lima minit kemudian, kombinasi
barisan depan Rusdi Suparman dan Paidiya membuahkan hasil apabila penyerang
kebangsaan itu menyungkit bola dari tepi garisan gol menuju tepat ke kepala
Paidiya yang menanduk masuk gol kedua.
Rusdi turut memainkan peranan
mencipta gol ketiga Selangor apabila umpanannya tepat ke kaki Zainal yang
merembat kencang ke gawang menewaskan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.
Perlis cuba melawan tetapi
Shamsurin Abdul Rahman dan rakannya di barisan depan gagal menembusi kubu kebal
Selangor.
Cuma percubaan Rozmin Musa yang
merembat liar di depan gawang Selangor pada minit ke-35 hampir memberikan gol
buat Perlis.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SXNdzSwQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan