Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta liga Perdanan Dua

ARKIB : 27/03/1999
PEMAIN Selangor, Ahmad Fairuz Yunus (kiri) tetap teguh mengawal bola biarpun seorang pemain pertahanan Melaka menerjahnya pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Dua di Stadium Shah Alam, semalam. Selangor menang 6-1.

KEHADIRAN Rusdi Suparman membawa tuah kepada selangor apabila tiga jaringannya membantu tuan rumah menumpaskan pendahulu liga Perdana Dua, Melaka 6-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Selangor meraih kemenangan pertama dalam masa penuh permainan, apabila dua perlawanan terdahulu berkesudahan seri, tetapi mereka menang menerusi penalti.

Selangor nyata menguasai permainan dan Rusdi mendapat kesempatan terbaik apabila menolak masuk bola pada minit ke-37.

Usaha-usaha yang dilakukan pasukan pelawat gagal memecah kebuntuan dan membenarkan Selangor mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Sebaik bermula babak kedua, Selangor kembali garang dengan Rusdi sekali lagi membantu Merah Kuning mendapatkan gol kedua, apabila tendangannya ditampan masuk pemain lawan, Mohd. Hussein Sheikh Abdul Kadir pada minit ke-47.

Seminit kemudian, Rusdi menjadikan kedudukan 3-0 apabila membuat larian solo, sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan dan dia melengkapkan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat tuan rumah.

Kehadiran Nazzab Hidzan turut membantu menguatkan pasukan Selangor, apabila dia menghasilkan gol kelima Selangor pada minit ke-58, hasil bantuan ketua pasukan, Rusdi.

Bekas pemain kebangsaan dan pemain veteran, Zainal Abidin Hassan melengkapkan kemenangan Selangor apabila menjaringkan gol keenam pada minit terakhir permainan.

Gol sagu hati Melaka diperoleh menerusi Rashid Mahmood pada minit ke-76. Johor FC pula terus cemerlang apabila menewaskan Tentera 2-1 untuk meraih tiga mata penuh pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Gol pertama Johor FC dijaringkan oleh Ahmad Norhapiza Bashri menerusi tendangan penalti pada minit ke-48.

Pemain tuan rumah, S. Karthigesan dijatuhkan oleh pertahanan pasukan pelawat, Wong Sai Keng dalam kotak penalti.

Shamsul Sulaiman menambah jaringan pasukan tuan rumah pada minit ke-55, apabila menyempurnakan hantaran Shahrul Ismail.

Tentera hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-70, apabila pemain mereka, S. Ragu melepaskan rembatan dari jarak 30 meter, tetapi berjaya ditangkap penjaga gol tuan rumah, Shamsul Sabtu.

Usaha keras Tentera bagaimanapun membuahkan hasil, apabila mereka berjaya menemui gol tunggal pada minit ke-88 menerusi Saifullah Hashim.

Perlis yang tumpas kepada Melaka, Isnin lalu, bangkit mendadak apabila menewaskan satu lagi wakil negeri Hang Tuah, Telekom Melaka 4-1 di Stadium Kubu, Melaka.

Gemilang Perlis itu diukir oleh ketua pasukannya, Yusri Che Lah dengan jaringan hatrik selain satu gol sumbangan V. Yogeswaran.

Yogeswaran menghadiahkan jaringan pertama perlawanan untuk Perlis seawal minit ketiga.

Tuan rumah bersemangat untuk mencari penyamaan sayangnya tendangan cantik Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-15 terkena palang gol.

Peluang kedua Telekom muncul empat minit kemudian namun disia-siakan oleh Norhisham Saleh ketika berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Perlis, Rosman Hussin.

Dalam keghairahan tuan rumah itu, Perlis pula menambah gol kedua dengan jaringan Yusri setelah menerima hantaran Fuad Mat Nor, minit ke-23.

Bagaimanapun, Telekom menerusi asakan menggila, beroleh gol tunggalnya sumbangan V. Sellathurai pada minit ke-56.

Namun kegembiraan penyokong Telekom tidak kekal lama apabila pelawat menambah gol ketiga minit ke-66 hasil tendangan pantas Yusri.

Yusri melengkapkan hatrik pada minit ke-82 apabila tendangannya berjaya melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Abdul Wahab.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, Kelantan menang melalui sepakan penalti 3-2 setelah seri 1-1 dengan Johor dalam masa permainan sebenar.

Gol tuan rumah diperoleh menerusi Tan Cheng Hoe pada minit ke-34 manakala Hashim Mustapha menyumbat gol penyamaan pada minit ke-56 untuk Johor.

Cheng Hoe, Yusrisham Yusoff dan Yew Choh Hooi menyudahkan penentuan penalti untuk Kelantan dan lawan membalas dengan Liew Kim Tu dan Hashim sekali lagi.

NS Chempaka meraih kemenangan sulung pada perlawanan Perdana Dua, apabila menang besar 5-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.

Pasukan tuan rumah mendahului 3-0 pada separuh akhir mata pertama, menerusi Chia Ah Bee di minit ke-11, Mohd. Khaidir Md. Dom (21) dan Yusarman Yusof (35).

Mohd. Khaidir menjadikan kedudukan 4-0 pada minit 63, sebelum Roslan Zakaria menambah sengsara pasukan pelawat apabila menyumbat gol sendiri pada minit ke-78

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ROKh4DwQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan