ARKIB : 17/04/1999
SELANGOR mengukuhkan kedudukan
di tangga teratas bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan pencabar
terdekat Johor FC 4-3 menerusi tendangan penalti selepas kedua-dua pasukan
terikat tanpa jaringan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.
Gol-gol Selangor dijaringkan
oleh Assrof Hanafiah, K. Sanbagamaran, Kamarulzaman Yop Majid dan Zainal Abidin
Hassan manakala Johor FC menerusi Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar, Hamzani Omar
dan Shukri Ismail.
Kedua-dua pasukan mempamerkan
aksi terbaik mereka pada babak pertama dengan barisan Selangor berjaya
mencemaskan skuad tuan rumah seawal minit ketiga, namun sepakan percuma Nazzab
Hidzan gagal disambar oleh K. Sanbagamaran dan juga Shamsul Amri Abu Bakar.
Selangor yang menggunakan
strategi hantaran jauh berjaya mengkucar-kacir benteng pertahanan Johor FC pada
minit ke-16, namun bola larian solo yang dilakukan Rusdi Suparman pantas
disekat penjaga gol Johor FC, Shamsol Sabtu.
Pasukan pelawat mengejutkan
penyokong Johor FC pada minit ke-26, namun jaringan Paidiya Rau tidak dikira
oleh pengadil kerana ofsaid.
Johor FC mendapat peluang
terbaik pada minit ke-32, namun tendangan kencang Azni Ariffin pada jarak 25
meter berjaya ditendang keluar oleh Nazzab yang berada di garisan gol.
Kedudukan tanpa jaringan pada
masa penuh permainan memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti yang nyata
menyebelahi Selangor untuk kemenangan 4-3.
Di Stadium Kubu, tuan rumah
Telekom Melaka mencatat kemenangan keduanya dalam 90 minit permainan apabila
menewaskan NS Chempaka 3-0.
Telekom Melaka membuka jaringan
menerusi ketua pasukannya, Rosli Hasyim yang membuat tendangan lambung dari
jarak 30 meter terus ke gawang pada minit ke-41.
Pada minit ke-48, tuan rumah
menambah jaringan apabila R. Sekar menyempurnakan hantaran Rosli untuk gol
kedua pasukannya. Rosli sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila
berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-81.
Kesilapan penjaga gol NS
Chempaka yang cuba keluar jauh dari posisi membawa padah apabila Rosli yang
membawa bola secara solo menolak masuk.
Di Stadium Sultan Mohamad Ke-4,
Kota Bharu, tuan rumah Kelantan merampas kedudukan tangga ketiga liga apabila
mengalahkan Perlis 2-1.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa
jaringan pada masa pertama. Perlis mendahului menerusi jaringan V. Yogeswaran
pada minit ke-52.
Begitupun, dua gol hasil
jaringan Tan Cheng Hoe pada minit ke-59 dan Mohd Nidzam Adzha Yusof, minit
terakhir permainan melengkapkan kejayaan bergaya tuan rumah untuk naik satu
anak tangga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RUQaSpSe
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan