Selasa, 11 Mei 2021

Melaka United bincang kedudukan Zainal

BERNAMA



ZAINAL berdepan tugas sukar pulih reputasi Melaka United.

Melaka: Pengurusan Melaka United FC akan mengadakan perbincangan bagi menentukan nasib ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan selepas skuad bimbingannya terus bergelut dengan kemerosotan prestasi.

Pengarah Urusan Melaka United FC, Datuk Seri Justin Lim berkata, adalah tidak adil meletakkan segala kesalahan di bahu pengendali itu berikutan kedudukan pasukan tersebut kini berada di tangga kedua terbawah Liga Super.

Beliau berkata prestasi merudum itu mungkin disebabkan masalah kewangan dihadapi sebelum pihaknya mengambil alih pasukan yang menyebabkan moral pemain berada pada tahap rendah.

"Ia topik yang sering dalam perbincangan utama pengurusan kelab tetapi kita akan duduk berbincang dan buat keputusan mengenainya supaya ia lebih adil kepada Zainal Abidin.

"Mungkin keadaan pasukan ini juga disebabkan ada beberapa pemain yang tidak dapat menterjemahkan apa yang jurulatih mahukan kerana dalam bola sepak semuanya tentang kerjasama sepasukan," katanya ketika ditemui pemberita di Ayer Keroh hari ini.

Justin berkata keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Petaling Jaya (PJ) City FC dalam aksi Liga Super semalam agak mengecewakan kerana pasukan itu bermain dengan baik namun jelas skuad Sang Kancil berdepan masalah ketumpulan jentera serangan.

Beliau berkata perkara utama ketika ini adalah perancangan Melaka United FC untuk meningkatkan semula moral pasukan bagi memastikan mereka dapat kembali bersaing agar berada pada kedudukan lebih baik sekali gus mengelakkan daripada zon penyingkiran.

" Sejujurnya ketika kita (KenTeam Sdn Bhd) mengambil alih pasukan ini kami tidak meletakkan sasaran tinggi kerana fokus kita mahu membuat persediaan pasukan untuk tahun depan kerana kita melihat pasukan ini mempunyai potensi besar dalam Liga Malaysia.

"Namun bagi jendela perpindahan kedua kita akan melakukan perubahan besar termasuk membawa pemain yang mempunyai nama dalam pasukan ini untuk memastikan Melaka United FC mampu bersaing pada pusingan kedua Liga Super nanti," katanya.

Disiarkan pada: Mei 10, 2021 @ 10:57pm.1

__________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/704705/melaka-united-bincang-kedudukan-zainal(diakses pada11 Mei 2021)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan