Simpan Artikel
MyMetroNode
Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Jika berhasrat untuk
menjulang gelaran selaku juara Liga Super musim ini, pemain Pahang tidak
mempunyai pilihan selain menamatkan baki tujuh perlawanan musim ini dengan nota
kemenangan.
Pengendali Tok Gajah Zainal
Abidin Hassan berkata, sepanjang tempoh 22 hari perlawanan berkenaan, semua
pemain perlu memiliki komitmen tinggi memandangkan jadual yang bakal diharungi
memang padat.
Katanya, masa yang agak terhad
untuk sesi latihan sebelum tirai Liga Super kembali disingkap 1 Ogos ini
diharap mampu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana ia adalah peluang terbaik
untuk menjulang Liga Super selepas Pahang melakukannya pada 2004.
“Saya akui tujuh perlawanan dalam
tempoh 22 hari begitu mencabar dan seboleh-bolehnya pemain dapat mengekalkan
prestasi terbaik mereka untuk mempertahankan kedudukan selaku pendahulu liga.
“Tempoh masa terhad pada sesi
latihan selepas cuti rehat Aidilfitri dapat mengembalikan tahap kecergasan
sebelum memulakan perlawanan bertemu Sime Darby FC, 1 Ogos ini.
“Bagi saya, tiga mata menjadi
keutamaan biar pun beraksi di gelanggang lawan dalam usaha mengukuhkan
kedudukan di persada liga memandangkan pesaing terdekat iaitu Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) mengekori rapat dengan ketinggalan dua mata saja,” katanya.
Pahang yang sudah mengharungi 15
perlawanan, sedang menerajui liga dengan 33 mata, lebih dua mata berbanding
Johor DT.
Perebutan selaku pendahulu liga
pastinya sengit kerana perlawanan musim ini hanya berbaki tujuh dan skuad
kendalian Zainal Abidin perlu mengekalkan kedudukan itu jika mahu menjulang
bergelar juara.
Justeru, Zainal Abidin meminta
semua pemain memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan dan tidak terlepas
sebarang mata.
“Apa yang perlu dilakukan pemain
ialah meningkatkan persefahaman kerana masing-masing sudah tahu tanggungjawab
mereka apabila berada dalam kesebelasan utama,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:06 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan