Tok Gajah umum Shaharuddin
jurulatih baharu
MOHAMAD SHOFI
MAT ISA
16 Disember 2015 12:15 AM
KUANTAN - Spekulasi yang
mengaitkan Zainal Abidin Hassan bakal mengendalikan juara Piala Malaysia, Selangor
kini semakin kuat selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) semalam
mengesahkan, bekas pemain kebangsaan itu tidak lagi membimbing Tok Gajah, musim
depan.
ZAINAL ABIDIN HASSAN
Pahang, yang menutup musim 2015
tanpa sebarang kejuaraan mengumumkan pelantikan bekas pemain tengah Tok Gajah
pada era 90-an, Ahmad Shaharuddin Rosdi sebagai Ketua Jurulatih baharu untuk
musim 2016
Zainal ketika dihubungi Utusan
Malaysia semalam, tidak mengiakan mahu pun menafikan mengenai perpindahan ke
Selangor, sebaliknya beliau menegaskan, segala persoalan akan dijawab dalam
satu sidang akhbar khas yang akan diadakan di Kuantan, esok.
“Terlalu ramai yang bertanya saya
untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara ini, jadi saya susah hendak melayani
media satu per satu. Saya akan buat satu sidang akhbar khas di Kuantan pada
Khamis ini untuk menjelaskan segalanya,” ujar jurulatih berusia 54 tahun itu.
Selain Selangor, Zainal yang
pernah menyarung jersi Red Giants pada 1980-1982, 1985-1990 dan 1997-1999 turut
dikaitkan dengan perpindahan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Rakan baik Zainal ketika di
Pahang dan Selangor, Dollah Salleh pernah mengendalikan PDRM pada 2014 sebelum
menerima panggilan untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan.
Menurut PBNP, Shaharuddin, 40,
yang sebelum ini menggalas tugas penolong jurulatih kepada Zainal dipilih
berdasarkan rekod anak kelahiran Kuantan itu sebagai pemain serta jurulatih.
“Beliau sudah berkhidmat sebagai
jurulatih bersama PBNP selama enam tahun, kami berani sebab kami yakin dengan
kemampuannya berdasarkan prestasinya sewaktu membantu Dollah Salleh dan Zainal
Abidin sebelum ini.
“Ini merupakan tradisi dan cara
kami, bermula dari Dollah, Zainal Abidin dan sekarang Ahmad Shaharuddin,” kata
Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim kepada Utusan Malaysia.
PBNP menerusi laman sosial
Facebook mengumumkan pelantikan Shaharuddin sebagai Ketua Jurulatih selepas
pertemuan antara Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dengan
barisan pengurusan tertinggi persatuan itu.
Shaharuddin bukan nama asing
dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan telah menyarung jersi Pahang
sejak 1994 hingga 2003 sebagai pemain tengah serta memenangi kejuaraan Liga
Perdana pada 1995 dan Naib Juara Piala Malaysia 1995 dan 1997.
Kariernya sebagai jurulatih
bermula daripada jawatan penolong jurulatih skuad Piala Belia Pahang bawah 19
tahun (2007- 2008) dan Penolong jurulatih Piala Presiden Pahang dari 2009
hingga 2010 sebelum dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super
Pahang sejak 2010 di bawah dua Ketua Jurulatih iaitu Dollah dan Zainal Abidin.
Fuzzemi berkata, pelantikan Ahmad
Shaharuddin berkuatkuasa serta merta dan beliau telah diarahkan untuk menyusun
latihan dan program persediaan skuad Tok Gajah untuk saingan musim depan.
Sementara itu, Shaharuddin
berharap, semua peminat memberi peluang kepadanya untuk membuktikan kemampuan
dan mengambil kira sejarah silamnya sebagai pemain Pahang serta tidak membuat
sebarang penilaian awal tergesa-gesa.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/zainal-hampir-ke-selangor-1.169311#ixzz5jxdy0v11
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan