Khamis, 30 Mac 2017

Zainal sasar layak ke Piala Malaysia



ZAINAL ABIDIN HASSAN memberi arahan kepada pemain Pulau Pinang
ZAINAL ABIDIN HASSAN memberi arahan kepada pemain Pulau Pinang pada hari pertama sebagai ketua jurulatih Harimau Kumbang di padang Kelab Sukan Pulau Pinang, semalam.

28 Mac 2017 12:09 AM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More

PULAU PINANG 27 Mac – Zainal Abidin Hassan yang memulakan tugas sebagai ketua jurulatih Pulau Pinang hari ini melahirkan keyakinan skuad Harimau Kumbang masih berpeluang untuk la­yak ke Piala Malaysia tahun ini.

Zainal yang mengisi kerusi panas berkenaan selepas Ashley Westwood disingkirkan berkata, layak ke kejohanan bola sepak tertua Asia itu harus menjadi fokus utama setiap pemain, sekali gus menjadi medan kebangkitan pasukan.

Katanya, jika dilihat di atas kertas, peluang Pulau Pinang tipis namun masih belum tertutup sepenuhnya.

“Kami ketinggalan mata agak jauh namun ruang masih ada. Oleh itu, pasukan akan memberi perhatian kepada setiap perlawanan yang akan diharungi selepas ini,” katanya di sini hari ini.

Begitupun, bekas pengendali Selangor itu sedar pemainnya bakal berdepan tugas sukar apabila tiga perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super yang menjadi penentu ke Piala Malaysia akan menemukan mereka dengan tiga gergasi bola sepak tanah air iaitu Felda United, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan.

Kata Zainal, beliau perlu bersedia dengan taktikal yang sesuai dengan kemampuan barisan pemain yang berada dalam skuad berkenaan ketika ini.

“Kita tahu semua penyokong mengharapkan pasukan bangkit dan layak ke Piala Malaysia, jadi pemain kena lupakan apa yang te­lah berlaku sebelum ini dan pandang ke depan,” katanya.

Mengulas pertemuan dengan Felda, Zainal berkata, perlawanan itu tidak mudah kerana mereka bertandang ke tempat lawan.

“Kita tahu Felda adalah wakil negara dalam Piala AFC, malah mereka menunjukkan peningkatan di bawah kendalian jurulatih baharu, namun kita juga perlu melakukan sesuatu,” katanya.

Mengenai muka baharu yang akan dibawa masuk, Zainal Abidin berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa memberi cadangan kepada pihak pengurusan.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/zainal-sasar-layak-ke-piala-malaysia-1.462660#ixzz4co0fIZYA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan