ARKIB : 05/04/1998
ELAK... Penyerang Negeri Sembilan Scott Olleranshaw (kanan) diasak oleh pertahanan Pulau Pinang Mohd. Zaidi Mail pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban malam tadi. Pulau Pinang menang 3-0.
JUARA liga, Sarawak mencatat permulaan cemerlang apabila melenyapkan cabaran Selangor 3-1 pada perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Satu merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sarawak, malam tadi.
Dua gol jaringan Ramos Sari pada minit ke-19 dan 25 dan satu gol menerusi Alistair Edwards minit ke-29 sudah memadai bagi skuad Bumi Kenyalang untuk menjuarai perlawanan Sumbangsih, sekali gus merebut tiga mata penuh bagi Perdana Satu.
Sementara gol tunggal Selangor diperoleh melalui rembatan kencang Azman Adnan minit ke-21 hasil umpanan cemerlang Mohd. Rizal Hassan.
Sarawak pernah beraksi pada perlawanan pembuka tirai liga musim 1993 tetapi kecundang 1-5 kepada Pahang.
Bermain di atas padang licin dan disaksikan kira-kira 15,000 penonton, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan yang berhati-hati dan sesekali menggugat benteng lawan.
Bagaimanapun, anak-anak buah Alan Vest lebih pantas membuat ancaman apabila Bobby Pian membuat tendangan liar seawal minit pertama perlawanan.
Hujan yang turun dengan lebat tidak sedikitpun melonggarkan serangan Sarawak yang bertali arus apabila percubaan Ramos Sari dan Mohd. Ali Sapiee minit kelima dan keenam meresahkan kubu pertahanan Merah Kuning.
Keadaan cemas itu memaksa pemain-pemain Selangor bertahan dan ada ketikanya corak permainan yang dihidangkan kelihatan bercelaru.
Namun begitu, selaku juara Piala Malaysia sebanyak 28 kali, Selangor tidak mudah gelabah dan tenang mengatur serangan.
Sambil dibantu Zainal Abidin Hassan di barisan pertahanan, jentera Selangor gigih melakarkan percubaan tetapi gagal melakukan penyudah yang tepat.
Aizal Lamin mempunyai peluang terbaik minit ke-13 untuk membocori pintu gol Sarawak tetapi tendangannya tepat ke dakapan penjaga gol, Mazlan Wahid.
Seminit selepas itu, Azman turut mempunyai kesempatan terbuka tetapi rembatannya melencong dari sasaran.
Bermain di kandang sendiri, Sarawak terus bergaya melakukan tindak balas dan Mohd. Ali Sapiee hampir memalit malu buat Selangor minit ke-18.
Saingan bertambah rancak dan kedua-dua pasukan saling memburu jaringan.
Minit ke-33 menyaksikan pemain Kenyalang, Ahmad Fairus dibuang padang oleh pengadil, Mohd. NazriAbdullah kerana mengasari Alexander Freeman.
Namun begitu, berjuang dengan 10 pemain tidak mematahkan semangat kental Sarawak untuk terus mengancam kekebalan Selangor.
Sebaik saja babak kedua perlawanan dimulakan, Sarawak terus mengasak ke kubu lawan dan percubaan ketua pasukan, Billy Bone minit ke-54 dan 56 gagal menambah koleksi jaringan buat Bujang Senang.
Perjuangan Selangor untuk memburu jaringan, sekurang-kurangnya untuk menyamakan kedudukan, sudah terlambat apabila wisel penamat dibunyikan.
SARAWAK: Mazlan Wahid, Ahmad Fairuz Yunus, Dahalan Matussin, Roslan Ismail, Mohd. Ali Sapiee, Bobby Pian, Ibrahim Mantali, Ramos Sari (Ramles Sari), Billy Bone (Ketua), Doug Ithier, Alistair Edwards.
SELANGOR: Abdul Hadi Tahir, Zainal Abidin Hassan, Aizal Lamin, Jeff Hopkins, Asroff Hanafiah, Alexander Freeman, Mehmet Durakovic, Nazzab Hidzam (Azmi Aziz), Shahril Arsat (Rusdi Suparman), Mohd. Rizal Mohd. Hassan, Azman Adnan.
PENGADIL : Mohd. Nazri Abdullah.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FrXbFllX © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan