Khamis, 18 Februari 2021

Khairul Helmi, Nikolic perkasa MU

MyMetroArena



Nazri Abu Bakar

am@hmetro.com.my

Melaka: Melaka United (MU) mengikat bekas pemain pertahanan kebangsaan, Khairul Helmi Johari dan pemain sayap lincah, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria bagi mewakili pasukan terbabit musim ini.

Majlis menandatangani kontrak pemain terbabit berlangsung Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri Ayer Keroh hari ini yang turut membabitkan penyerang dari Montenegro, Stefan Nikolic.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kehadiran Khairul Helmi yang juga bekas kapten Kedah dan Wan Zaharulnizam (Kelantan) serta Nikolic bakal memperkasa pasukan berkenaan musim ini.

Katanya, sasaran kali ini tidak terlalu tinggi namun diharap ia lebih baik daripada persembahan pasukan musim lalu.

Menurutnya, sentuhan Nikolic yang berhijrah dari kelab Bosnia Herzegovina, Krupa yang memiliki pengalaman luas beraksi bersama banyak kelab di sekitar negara-negara Balkan dan Eropah seperti Serbia, Romania, Rusia, Poland, Croatia dan Bosnia, adalah aset buat skuad Hang Tuah.

"Malah di peringkat antarabangsa, pemain itu pernah membarisi skuad kebangsaan Montenegro di peringkat bawah 19 dan 21 Tahun dengan MU menjadi kelab pertama pemain ini dalam Liga Malaysia dan Asia Tenggara.

"Saya mengharapkan Nikolic pantas menyesuaikan diri dengan cuaca di negara ini serta corak permainan dalam Liga Malaysia.

"Pengalaman yang dimiliki penyerang ini mampu membantu MU melakar sesuatu atau sekurang-kurangnya memperbaiki pencapaian musim lalu," katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif MU, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dan Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 9:08 PM