BERNAMA | | 7 Mac 2020
KETUA Jurulatih Melaka United,
Zainal Abidin Hassan mahu anak-anak buahnya mengekalkan fokus dan mengekalkan
rentak konsisten dalam permainan mereka selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas
PDRM dalam aksi Liga Super malam tadi.
Pengendali berusia 57 tahun itu
berkata, tiga mata yang dikutip itu menjadi pembakar semangat untuk mereka
memberi persembahan lebih bertenaga dan mencari kemenangan pada aksi seterusnya
bertemu Felda United, Rabu ini di Stadium Tun Razak, Jengka.
“Kita mempunyai masa dua hingga
tiga hari untuk berlatih, beraksi di padang rumput tiruan memerlukan semua
pemain untuk lebih berdisiplin dan sekiranya cuai kita mampu dibolosi.
Pasukan ini telah menunjukkan
satu sistem permainan yang lebih baik serta kemas dan ini satu perkembangan
bagus untuk para pemain,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, di sini
malam tadi.
Pada perlawanan malam tadi, skuad
Sang Kancil mendahului The Cops menerusi tandukan pemain import dari Nigeria,
Uche Agba pada minit ke-17 untuk mendahului kedudukan 1-0 hingga tamat separuh
masa pertama.
Tuan rumah yang beraksi di
hadapan 3,500 penyokong terus menambah jaringan hasil sepakan deras ketua
pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-71 sebelum PDRM merapatkan kedudukan
menerusi Antonio German di minit ke-81, dan kemudian Wan Amirul Afiq Wan Ab
Rahman menambah jaringan untuk Melaka di minit akhir masa tambahan.
Zainal Abidin berpuas hati dengan
corak permainan yang dipamerkan anak-anak buahnya biarpun terdapat sedikit
kelemahan iaitu mencari gerakan penyudah walaupun mampu mencipta beberapa
peluang keemasan.
"Ada masa, mereka nampak
tertekan hingga dibolosi namun kita mahu para pemain memperbaiki kekurangan itu
dan tingkatkan prestasi supaya pasukan ini lebih maju dan baik untuk terus
memberikan saingan kepada lawan," katanya.
Melaka United sehingga kini
berjaya meraih enam mata hasil dua kemenangan dan berada di kedudukan teratas
Liga Super. – Bernama.[1]
[1] https://www.sinarharian.com.my/article/72836/BERITA/Sukan/Melaka-United-perlu-kekal-konsisten-Zainal-Abidin