Isnin, 23 September 2019

Zainal hormat keputusan Shukor

SUKAN»Bola
Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm
 
SHUKOR Adan.
Zainal hormat keputusan Shukor
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United (MU) Zainal Abidin Hassan menghormati keputusan kapten pasukan Mohd Shukor Adan yang enggan disenarai dalam skuad Hang Tuah ketika berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Bekas pengendali Selangor dan Pulau Pinang terbabit berkata, secara jujur Shukor memberitahu dia tidak mahu bermain berikutan hatinya mungkin tiada pada perlawanan terbabit.

“Saya hormati keputusannya,” kata Zainal mengulas keputusan bekas kapten kebangsaan berkenaan yang tidak bermain pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia sehingga mendorongnya menurunkan Razman Roslan sebagai pengganti di barisan benteng.

“Sama ada dia ingin bermain atau tidak di Kuantan (timbal balik) saya tidak pasti. Apapun fokus adalah berdepan lawan  Ahad ini yang perlu terus diutamakan.

“Perancangan perlu diatur teliti untuk aksi terbabit. Selagi perlawanan belum berakhir perjuangan masih belum tamat. Dalam bola sepak semua boleh berlaku.”

Zainal begitupun jelas enggan mengulas lanjut kemelut berkenaan yang menyaksikan skuad kendaliannya tumbang 0-3 kepada Tok Gajah.

Malah dia menolak sebarang soalan berkaitan isu dalaman skuad berkenaan sehingga bekas pemain Selangor, PDRM dan Negeri Sembilan terbabit enggan disenaraikan.

Sebelum ini, NSTP melaporkan di sebalik keceriaan layak ke suku akhir Piala Malaysia, skuad MU dibelenggu masalah tunggakan dua bulan gaji.

Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan MU tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.

Malah pelbagai reaksi di media sosial terutama dalam kalangan peminat setia Hang Tuah yang mahu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm

Ahad, 22 September 2019

Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan

SUKAN»Bola
Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm
 
DOLLAH Salleh (kanan) dan Zainal Abidin Hassan.
Pertembungan Dollah, Zainal jadi tumpuan
Oleh Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
KUANTAN: Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang pernah bergandingan mengendali Pahang muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2013 kini bakal bertembung sebagai seteru pada aksi suku akhir musim ini.

Dua bekas pemain kebangsaan itu masing-masing membimbing Pahang dan Melaka United dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan pertembungan pada Ahad ini bakal menilai kemampuan taktikal kedua-dua pengendali itu.

Dollah yang juga bekas pengendali Harimau Malaya tidak rela misi menjulang kejuaraan bersama skuad Tok Gajah musim ini disekat Melaka United kendalian bekas rakan sepasukan kebangsaannya itu.

"Apa sekalipun, dalam bola sepak setiap jurulatih mahukan kemenangan dan begitu juga saya yang mengharapkan Pahang menang apabila berdepan Melaka United,” kata Dollah.

"Begitu juga Zainal Abidin kerana kami dalam bola sepak bukan baru dan menjadi lumrah apabila bersaing untuk meraih kejayaan."

Musim ini, pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super menyaksikan skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 4-1 dan seri 1-1.

Namun, kali ini ia pentas yang berbeza selepas kebangkitan yang dilakukan skuad kendalian Zainal Abidin untuk mengetepikan FELDA United FC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.

Pada perlawanan suku akhir pertama Ahad ini, Dollah dijangka menyenaraikan kesebelasan terbaik termasuk penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme.
Pahang turut menagih sentuhan pemain pertahanan, Herold Goulon yang sudah menjaringkan 11 gol musim ini termasuk jaringan ketika menewaskan Pulau Pinang 2-0, Rabu lalu.
SUMBER- BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 20 September 2019 | 7:36pm

Rabu, 18 September 2019

Melaka pilih jalan sukar


SUKAN»Bola
Ahad, 15 September 2019 | 6:51pm
 
KETUA Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan. NSTP/Rasul Azli Samad
Melaka pilih jalan sukar
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
SHAH ALAM: Pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan mengakui pasukannya berdepan tekanan untuk menghadapi aksi terakhir bagi memburu slot suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Ketika Melaka dan Selangor memerlukan kemenangan pada aksi kelima Kumpulan D untuk segera menempah tempat ke saingan kalah mati, sebaliknya pula berlaku apabila kedua-duanya sekadar terikat 1-1.

Malah kejayaan FELDA United FC meraih kemenangan 1-0 ke atas PDRM FA, menjadikan persaingan kini terbuka buat keempat-empat pasukan dan hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir, Rabu ini.

"Belum ada pasukan yang layak dan keempat-empat pasukan pasti ada tekanan. Semua pasukan akan berikan segala-galanyanya pada perlawanan selepas ini,” kata Zainal.

"Saya pun mahu layak, jadi untuk melepasi peringkat kumpulan, kami kena tingkatkan lagi prestasi kami. Apabila kami mendapat bola, ia adalah serangan dan bila tidak ada bola, automatik kita akan bertahan.

"Cuma yang penting, macam mana kita bertahan dan siapa yang perlu lakukan tugas bertahan terlebih dulu. Itu perkara yang saya tekankan kepada pemain."

Pada perlawanan malam tadi, Mohd Khyril Muhymeen Zambri membuka jaringan buat Red Giants pada minit ke-38 namun Saiful Ridzuwan Selamat kembali menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

Mengulas lanjut prestasi anak buahnya Zainal berkata, satu mata adalah keputusan berbaloi buat Melaka ketika lawan mereka adalah pasukan berstatus gergasi.

"Memang niat kami untuk dapatkan tiga mata tetapi malangnya kami bermain dengan 'gergasi' dan sudah pasti kami perlu berhati-hati. Di babak kedua, kami kena lebih menyerang dan Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan gol penyamaan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad, 15 September 2019 | 6:51pm