8 Mei 2017
Zainal Abidin Hassan
GAGAL menerapkan disiplin
hingga ke akhir perlawanan semasa
menentang Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri di
sini malam tadi, punca pasukan Pulau Pinang tewas sejurus sebelum wisel penamat
ditiupkan.
Ketua jurulatih Pulau Pinang,
Zainal Abidin Hassan berkata beliau sangat kecewa kerana sekiranya rentak
permainan yang berdisiplin dapat dikekalkan, pasukan Harimau Kumbang
sekurang-kurangnya berjaya mengutip satu mata.
"Minggu depan beberapa
pemain import dari Afrika, Amerika Selatan dan Australia akan tiba untuk diuji.
"Kami berharap akan ada
keputusan positif dan Pulau Pinang segera bangkit untuk menentang Kelantan pada
24 Mei nanti," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan itu malam
tadi.
Dalam aksi malam tadi, pasukan
Pulau Pinang berputih mata apabila jaringan Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit
terakhir perlawanan membantu Felda United mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke
atas pasukan tercorot Liga Super itu.
Skuad 'The Fighters' terlebih
dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Lucas Matias
Cano pada minit ke-16 sebelum skuad Harimau Kumbang berjaya menyamakan
kedudukan menerusi penyerang import dari Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba pada
minit ke-54.
Sementara itu Ketua Jurulatih
Felda United, B.Sathianathan menyifatkan kemenangan pasukannya ada "nasib
baik" kerana pasukan Pulau Pinang memberi tekanan yang agak kuat.
Beliau berkata pasukannya jelas
kelihatan hilang fokus setelah Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada separuh
masa kedua, namun nasib menyebelahi mereka apabila berjaya menghasilkan gol
pada saat akhir.
Katanya beliau masih belum
berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukannya dan memerlukan pemain
yang lebih berkualiti termasuk import.
"Kami berharap Felda
United berada di tangga keempat teratas pada musim ini," katanya. –
Bernama
Sumber SINAR HARIAN ONLINE 8 Mei 2017